Dakwaan Rasuah ADUN Sabah: SPRM Sahkan Video Tiada Kredibiliti, Tak Boleh Guna...

Dakwaan Rasuah ADUN Sabah: SPRM Sahkan Video Tiada Kredibiliti, Tak Boleh Guna Pakai

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru sahaja selesai merakam keterangan lima saksi termasuk seorang ahli politik dari Sabah berhubung siasatan dakwaan skandal rasuah melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata lima individu itu dipanggil susulan isu baharu mengenai siasatan berkenaan yang ditimbulkan di sebuah portal dan SPRM Sabah sedang meneliti rakaman keterangan itu.

Katanya, siasatan dakwaan skandal rasuah itu dibuat berdasarkan video dikeluarkan sebuah portal serta di media sosial.

Menurutnya, sehingga ke hari ini pemberi maklumat yang mendedahkan video itu masih belum berkongsi sebarang bukti dengan SPRM.

“Video ini telah kita kemukakan kepada bahagian forensik SPRM.

“Laporannya baru-baru ini menunjukkan lapan video di dalam portal itu adalah video yang tidak boleh diguna pakai kerana berlaku editing serta ia juga tidak boleh digunakan dalam penyiasatan dan juga mahkamah kerana tidak ada kredibiliti,” katanya.

Sebuah portal berita baru-baru ini melaporkan mengenai beberapa rakaman video memaparkan ADUN berkenaan didakwa menerima ratusan ribu ringgit bagi menyokong permohonan sebuah syarikat untuk projek di sebuah negeri.

Azam berkata SPRM tidak bercadang memanggil portal yang menyiarkan video terbabit untuk mengetahui bagaimana ia diperoleh kerana menghormati kebebasan portal itu untuk membuat laporan.

– BERNAMA