KENINGAU, SABAH – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pantas mengoptimumkan capaian internet lemah dihadapi seorang pelajar tingkatan lima di Kampung Ranggom sini.
Akibat daripada itu, Pelaksanaan Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) Atiqah Nurqistina Jamain, 17, tidak lagi terkekang bagi menghadap Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akhir tahun ini.
“Pelbagai usaha giat diambil bagi memastikan masalah kesaling-hubungan di kawasan berkenaan ditangani dengan segera,” kata jabatan komunikasi korporat agensi berkenaan.
Satu pertemuan antara pihak MCMC dan wakil penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi, Maxis dan YTL dengan pelajar baru-baru ini bagi memahami masalah dan keperluan pelajar yang terkesan itu.
Dalam lawatan tersebut, ujian kelajuan jalur lebar turut dijalankan di kawasan rumah pengadu dan hasil ujian mendapati liputan di lokasi adalah tidak memuaskan.
“Sebagai langkah sementara dalam meringankan kesusahan yang dihadapi oleh adik Atiqah Nurqistina, kerja-kerja akan dijalankan oleh pihak Maxis di lokasi menara terdekat iaitu di Kampung Labak Baru, Bingkor…
“Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beliau juga boleh mendaftar dan menjadi ahli Pusat Internet Komuniti (PIK).
“Sewaktu PKP ini, beliau boleh mengguna pakai kemudahan Wifi yang sedia ada di PIK tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan boleh memanfaatkan kemudahan yang disediakan.
“Untuk penyelesaian jangka panjang, solusi menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sudah pun dirancang,” kata sumber.
Sebuah menara akan dibina oleh pihak Celcom menerusi projek JENDELA di Kg. Sungai Apin-Apin yang terletak lebih kurang 0.77 kilometer dari Kampung Ranggom.





