KOTA KINABALU: Seramai 250 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Darau hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam satu majlis di Dewan Serbaguna Koperasi Yayasan Sabah Berhad, Kampung Warisan, Darau hari ini.
Majlis pengumuman diketuai bekas Ketua Wiranita STAR N.17 Darau, Datin Nollyzai Datuk Awg Sham, yang menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, serta Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Mohamed Razali Razi.
Menurut Razali, perpindahan beramai-ramai itu mencerminkan kepercayaan rakyat terhadap konsistensi perjuangan serta keupayaan GRS dalam melaksanakan agenda pembangunan negeri.
“Mereka percaya dengan apa yang diperjuangkan oleh GRS kerana kita tidak banyak bercakap tetapi kita bekerja. Rakyat mahu lihat sistem penyampaian yang berkesan, ringkasnya, mereka mahu hasil, bukan janji,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.
Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang tawaran atau imbuhan diberikan kepada mana-mana ahli untuk keluar daripada STAR.
“Tiada tawaran, tiada politik wang. Pemimpin STAR sendiri faham perjuangan asas. Mereka yakin bahawa berada di bawah satu rumah GRS adalah pilihan yang tepat untuk kestabilan negeri,” katanya.
Datin Nollyzai turut menafikan dakwaan kononnya wujud unsur ganjaran dalam perpindahan tersebut.
“Sepanjang saya dalam politik, saya tidak pernah terlibat dengan politik wang. Kami menyertai Gagasan Rakyat secara sukarela dan ikhlas kerana yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Hajiji dan Datuk Razali,” tegasnya.
Razali turut memaklumkan bahawa lebih ramai ahli daripada parti lain dijangka akan menyertai GRS dalam masa terdekat.
“Ini bukan soal ‘mencuri’ ahli. Kita berhijrah untuk mencari kebaikan. Ramai yang sedang berbincang dan insya-Allah akan ada lagi penyertaan baharu selepas ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Darau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-17, Razali hanya menjawab ringkas bahawa jentera GRS Darau kini sudah bersiap sedia sepenuhnya.
“Kita sudah bekerja lebih tiga tahun dan semua jentera sudah bersedia. Manifesto saya akan diumumkan kemudian,” katanya.
Penyertaan 250 ahli baharu ini dijangka mengukuhkan lagi kedudukan GRS di kawasan Darau menjelang PRN-17, sekaligus memperkukuh keyakinan terhadap kepimpinan Hajiji dalam memastikan kesinambungan dan kestabilan politik di Sabah.
 
             
	





