KOTA KINABALU, SABAH – Gesaan oleh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking, kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili disifatkan sebagai “tidak matang” dan “tidak sesuai”.
Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah, Christoper Mandut, ketika mendedahkannya berkata gesaan Darell agar Maximus membuat aduan berhubung pemulangan 40 peratus hasil cukai yang dikutip dari Sabah adalah mengejutkan.
“Beliau membuat komen itu seolah-olah menutup kelemahannya sendiri. Beliau sendiri seorang bekas menteri persekutuan, saya hairan dia tidak tahu peranan dan fungsinya sepanjang tempoh 18 bulan bekerja.
“Tambahan pula, semasa mereka (Parti Warisan) berkuasa, mengapa dia tidak dapat buat sendiri?…
“Mengapa tunggu sekarang dan salahkan orang lain pula atas kegagalan sendiri?” kata Christopher dalam satu kenyataan.
Tambahnya, sebagai sebahagian daripada barisan persekutuan, Maximus, yang juga Presiden PBS dan Ahli Parlimen Kota Marudu, bertindak sebagai fasilitator mengenai perkara itu dengan menyedia platform untuk Sabah dan Sarawak menyuarakan aduan mereka.
“Walaupun dia (Maximus) orang Sabah, dia adalah menteri persekutuan dan sebahagian daripada Kabinet.
“Dia tidak boleh dilihat berat sebelah kepada kerajaan negeri Sabah. Ia akan menjadi sangat tidak profesional untuk dia berbuat demikian. Dia mesti adil kepada kedua-dua pihak kerajaan negeri dan persekutuan,” katanya.
Tambahnya, sejak Maximus dilantik ke dalam portfolio itu, beliau telah mencapai lebih daripada pendahulunya, terutamanya dalam isu berkaitan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Antara pencapaiannya ialah resolusi penting dan bersejarah pindaan perlembagaan Perkara 1(2) dan 160(2) adalah berkaitan dengan status sama rata Sabah dan Sarawak, untuk mentakrifkan semula ‘persekutuan’, dan menginstitusikan 16 September sebagai Hari Malaysia selain pemulangan kuasa pengagihan gas petroleum cecair (LPG) kepada negeri ini yang dimeterai pada 1 Jun tahun lalu.
“Beliau juga memberi kuasa kepada kedua-dua kerajaan Sabah dan Sarawak untuk mengeluarkan lesen memancing laut dalam pada 18 Okt 2021.
“Dan pencapaian terbesar ialah kenaikan empat kali ganda dalam geran khas untuk Kerajaan Sabah, daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta, yang akan dibayar mulai tahun ini,” katanya sambil menambah ini dicapai kerana kerja keras, kegigihan dan komitmen untuk memenuhi hak rakyat Sabah dan Sarawak.
Beliau menegaskan bahawa Darell harus terlebih dahulu bertanya kepada dirinya sendiri sama ada dia telah melakukan cukup untuk rakyat Sabah.
“Anda mempunyai peluang anda (sebagai menteri persekutuan) dan anda gagal. Jangan beri alasan bahawa masa anda singkat, kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan … anda boleh melakukan sesuatu, tetapi keutamaan anda pergi ke tempat lain .
“Jangan salahkan kerajaan hari ini hanya kerana pentadbiran anda lemah. Fikirlah secara matang, tinggalkan perkara yang bukan-bukan,” katanya lagi.





