Hargai Jasa dan Pengorbanan Ibu – PM

Hargai Jasa dan Pengorbanan Ibu – PM

0
SHARE

PETALING JAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru seluruh warga ‘Keluarga Malaysia’ untuk sentiasa menghargai jasa dan pengorbanan ibu.

Ismail berkata demikian sempena sambuntan Hari Ibu hari ini menerusi satu perkongsian di akaun Facebook rasminya hari ini.

Sambutan Hari Ibu tahun ini disambut dengan bertemakan ‘Kasih ibu selamanya’.

Katanya, tangan yang menghayun buaian mampu menggoncang dunia, begitulah hebatnya seorang ibu dalam mencorak kehidupan anak supaya menjadi insan yang berguna dan berjasa dalam pembangunan negara.

“Arwah mak, Allahyarhamah Wan Jah Wan Mamat, banyak mencorak hidup saya agar dapat menjadi insan yang berbakti kepada seluruh Keluarga Malaysia…

Arwah mak mendidik saya dan adik-beradik dengan penuh kasih sayang…

“Kami anak kampung yang serba kekurangan dan arwah mak yang menyempurna dan membahagiakan kami dengan cara mak yang tersendiri. Kelembutan dan keikhlasan arwah mak dalam membesarkan anak-anak dengan begitu tabah sekali.

“Terima kasih mak atas segala jasa yang dicurahkan, yang tidak mampu insan bergelar anak membalas jasa mak,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri meminta anak-anak di luar sana untuk memberi kasih sayang sepenuhnya kepada ibu mereka semasa masih ada.

“Jasa ibu tidak terbalas, wang ringgit bukan segala-galanya tetapi kasih sayang dan perhatian memadai menjadi pengubat hati yang penuh kerinduan,” jelasnya.