TUARAN, SABAH – Seorang lelaki warga emas dan juga pesakit dementia “datang untuk mati” dalam sebuah kenderaan Proton Persona di Kampung Lakang sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata menurut isteri mangsa, dia sering tersilap masuk ke kenderaan lain.
Pemilik kenderaan terkejut menemui mayat yang tidak dikenali itu kira-kira jam 8 semalam.
Jabatan Bomba mengalihkan mangsa keluar menggunakan alat perlindungan yang lengkap.
“Hasil siasatan lanjut dan pengecaman yang dibuat isteri mangsa mengesahkan mayat berkenaan adalah individu yang dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Tambalugu, di sini.
“Pemeriksaan lanjut juga mendapati tiada sebarang kesan pergelutan atau unsur-unsur jenayah,” katanya.
Katanya, setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Mati Mengejut (SDR) sehingga laporan penuh bedah siasat diperolehi.
Sementara itu di Sandakan, empat (4) kenderaan dihempap tiang lampu termasuk kenderaan Toyota Prado yang melanggarnya.
Insiden kira-kira 9.30 malam itu turut melibatkan sebuah Perodua Myvi, Proton X70 dan Toyota Vigo Pusat Gerakan Operasi Bomba Sabah.
“Kemalangan berlaku selepas salah satu kenderaan terlanggar tiang lampu jalan lalu tiang lampu tersebut menghempap tiga (3) buah kenderaan lain.
“Tiada mangsa cedera dilaporkan,” katanya dalam satu kenyataan.





