DOKTOR KONTRAK LANCAR MOGOK, TIDAK LAGI PERCAYA KEPIMPINAN KKM

DOKTOR KONTRAK LANCAR MOGOK, TIDAK LAGI PERCAYA KEPIMPINAN KKM

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Tidak lagi percaya de­ngan kepimpinan Kementerian Kesihatan (KKM), sekumpulan doktor kontrak bertegas ingin melancarkan mogok bermula Isnin (3 April) ini kerana hak mereka tidak dijaga sebaiknya.

Memetik kenyataan Utusan Malaysia, pengendali akaun @mogokdoktormalaysia mendedahkan mereka merupakan sekumpulan doktor kontrak yang kini berkhidmat di KKM dan tiada kaitan dengan Gerakan Hartal Doktor Kontrak.

Enggan mendedahkan identiti, jelasnya, mereka kecewa dan mendakwa kerajaan tidak meng­anggap mereka seperti manusia, oleh kerana itu mogok selamat tiga hari itu akan tetap dilakukan.

“Seramai 10,000 doktor kontrak di seluruh negara akan sertai, tujuan kami lakukan mogok ini adalah untuk me­nunjukkan kepentingan doktor dalam KKM. Jangan guna kami lepas itu ‘lempar’ begitu sahaja…

“Doktor kontrak ni sekarang ibarat tisu pakai buang, semasa Covid-19 melanda, kami yang bermandi peluh malah ada me­ninggal dunia tetapi sekarang dibuat macam sampah, hak-hak kami tidak didengari,” katanya.

Terdahulu akhbar ini mela­porkan, penganjur kempen mogok doktor kontrak menasihatkan orang awam supaya tidak mengunjungi hospital awam dan klinik-klinik kesihatan pada minggu depan kerana mereka berkemungkinan terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan rawatan.

Jurucakap tersebut menegaskan, jika KKM dan kerajaan melayani doktor kontrak seperti manusia, maka mustahil untuk gerakan tersebut melancarkan mogok.

“Sekarang KKM mengalami kekurangan tenaga kerja terutama doktor. Dah samapai tahap kami terpaksa on-call sebanyak 12 kali sebulan iaitu sekali bertugas sehingga 32 jam dengan kadar bayaran RM9 sejam. Kami sangat kecewa,” katanya.

Ditanya berkenaan pesakit iaitu orang awam yang akan menjadi mangsa kepada perbalahan KKM dan doktor kontrak, jurucakap tersebut enggan memberi komen dan masih berkeras protes itu tetap dilaksanakan walau apa jua keadaan.