DUA ADUN DAP KELUAR PARTI, HILANG KEPERCAYAAN TERHADAP PIMPINAN

DUA ADUN DAP KELUAR PARTI, HILANG KEPERCAYAAN TERHADAP PIMPINAN

0
SHARE
Dari kiri Justin Wong, Calvin Chong dan Adrian Lasimbang.

KOTA KINABALU, SABAH – Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta seorang bekas senator mengumumkan keluar parti DAP semalam.

Mereka adalah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong; ADUN Elopura, Calvin Chong dan bekas senator Adrian Lasimbang.

Portal berita ‘Free Malaysia Today’ melaporkan mereka sebagai berkata: “hilang kepercayaan terhadap parti dan pengerusi, Frankie Poon”.

“Kami memulakan kerjaya politik masing-masing demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur yang lebih baik dan lebih penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.

“Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah,” katanya…

Justin berkata parti itu telah hilang arah serta mengalami perbalahan dalaman dan komunikasi teruk antara pemimpinnnya.

Beliau yang juga dilantik sebagai ahli jawatankuasa dalam pemilihan parti DAP Sabah baru-baru ini berkata ketiga-tiga mereka akan menjadi ADUN Bebas buat masa ini.

“Kami menganggap wujud keperluan mendesak bagi memilih platform lebih sesuai yang mampu membuka ruang untuk kami berkhidmat dengan lebih baik untuk negeri tercinta ini.

“Saya tidak mahu membincangkan ke mana akan kami pergi buat masa ini, cukuplah kami katakan mahu berkhidmat untuk rakyat Sabah,” beliau berkata.

Dengan itu, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Ahli Parlimen dari parti itu pula adalah Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Vivian Wong (Sandakan) dan Noorita Sual (Tenom).

Calvin sebelum ini menyatakan hasrat untuk meninggalkan parti kerana tidak dilantik sebagai ahli jawatankuasa semasa pemilihan parti tahun lalu selain wujud beberapa masalah dalaman parti.