KOTA KINABALU, 2 Okt — Penyanyi terkenal tanah air, Zizi Kirana, bersama seorang lagi sukarelawan, Sul Aidil, dilaporkan antara aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) yang ditahan tentera Israel (IDF) ketika menyertai misi membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Zizi yang berada di kapal Huga dan Sul Aidil berada di kapal Alma itu dipintas ketika dalam pelayaran menuju ke Semenanjung Gaza, walaupun misi berkenaan disifatkan sebagai aman, tanpa sebarang bentuk provokasi atau kekerasan.
Mereka adalah wajah anak Sabah yang memilih mempertaruhkan diri demi prinsip kemanusiaan dan memperjuangkan nasib penduduk yang tertindas di Palestin oleh rejim Israel.
Di sana, mereka bukan hanya membawa barangan bantuan. Mereka membawa harapan, suara, dan rasa tanggungjawab terhadap mereka yang tertindas.
Zizi sempat merakam video rakaman sebelum berlayar, menyatakan jika rakaman itu disiarkan, ia bermakna beliau telah “diculik” oleh tentera Israel.
“If you are watching this video, it means I have been abducted and taken against my will by Israeli forces. Our humanitarian mission was peaceful, non-violent, and fully in compliance with international law,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengecam keras tindakan Israel itu.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel memintas Global Sumud Flotilla.
“Kapal-kapal tersebut membawa orang awam tidak bersenjata dan bekalan kemanusiaan, tetapi berdepan intimidasi serta paksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan keselamatan rakyat Malaysia adalah keutamaan dan negara akan menggunakan semua saluran sah untuk memastikan Israel dipertanggungjawabkan.
“Keselamatan dan maruah rakyat kita adalah keutamaan. Malaysia tidak akan berdiam diri,” tegas Anwar.
Di peringkat negeri, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, menzahirkan kebimbangan terhadap penahanan kedua-dua anak Sabah itu.
“Kerajaan negeri amat prihatin terhadap nasib Zizi Kirana dan Sul Aidil.
“Kita percaya Perdana Menteri serta Menteri Luar akan mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan pembebasan mereka,” katanya.
Hajiji turut menyeru rakyat Sabah tanpa mengira bangsa atau agama supaya berdiri bersama menyokong perjuangan kemanusiaan yang dibawa oleh kedua-dua sukarelawan berkenaan.
Penahanan Zizi Kirana dan Sul Aidil kini mencetuskan gelombang solidariti di Sabah dan Malaysia keseluruhannya, dengan harapan mereka dapat dibebaskan segera daripada tahanan Israel.