
KOTA KINABALU, SABAH – Kesemua 250 gerai penjaja yang diperuntukkan untuk Karnival Tahun Baharu Cina di Jalan Gaya yang dianjurkan bersama oleh Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), telah ditempah sepenuhnya oleh para peniaga, kata Presiden FCAS, Tan Sri T.C Goh.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada komuniti perniagaan tempatan atas sokongan padu mereka kepada acara itu, beliau juga menyampaikan permohonan maaf, bagi pihak FCAS, kepada peniaga yang tidak berjaya mendapatkan mana-mana gerai, kerana pendaftaran lewat.
Beliau mengakui sokongan padu komuniti perniagaan tempatan terhadap karnival jalanan itu akan memberikan suasana Tahun Baru Cina 2023 rangsangan yang baik.
Beliau berkata, Karnival Tahun Baharu Cina selama empat hari itu akan diadakan di Dataran Deasoka di sini, dari 15 hingga 18 Januari bagi menyambut Tahun Arnab.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor akan merasmikan majlis itu manakala Konsul Jeneral China di Kota Kinabalu, Huang Shifang juga telah bersetuju untuk menyerikan majlis itu sebagai Tetamu Khas.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr Joachim Gunsalam akan merasmikan majlis penutupan.
Goh turut mengucapkan terima kasih kepada Datuk Mayor, Datuk Norliza Awang Alip dan pejabatnya, atas sokongan dan kerjasama penuh kepada FCAS dalam menjayakan penganjuran majlis tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Penganjurnya Kapitan Fung Chun Fatt, yang juga Naib Presiden FCAS, mendedahkan bahawa bagi menyemarakkan lagi suasana Tahun Baru Cina karnival itu, Penganjur telah menyediakan lima kategori pertandingan bakat, termasuk persembahan Wushu, nyanyian, persembahan bakat, lagu kanak-kanak Tahun Baharu Cina, dan pertunjukan fesyen Tahun Baharu Cina, dengan ganjaran wang tunai berjumlah RM27,000.
Mereka yang berminat untuk menyertai peraduan bakat tersebut boleh menghubungi pegawai sekretariat FCAS yang berkaitan: Teddy (088-253433) atau Cik Lee (012-802 3282), untuk maklumat lanjut.