COPENHAGEN – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam satu kenyataan berkata pihaknya tidak menjangkakan lonjakan kes COVID-19 di China akan ‘memberi kesan ketara’ kepada situasi di Eropah.
“Lonjakan berterusan di China tidak dijangka memberi kesan ketara kepada situasi epidemiologi COVID-19 di wilayah Eropah pada masa ini,” kata Pengarah WHO Eropah, Hans Kluge dalam sidang akhbar.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, ‘kita tidak boleh leka’.
Memetik laporan AFP, hospital di China telah berdepan kesesakan susulan peningkatan kes sejak Beijing mula melonggarkan pelbagai sekatan yang telah menjejaskan ekonomi dan mencetuskan protes di seluruh negara.
WHO rantau Eropah terdiri daripada 53 negara, termasuk Russia dan negara di Asia Barat.
Pengarah serantau itu turut berkata, “adalah tidak munasabah bagi negara yang mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi penduduk mereka tetapi menggesa langkah sedemikian berakar umbi berasaskan sains, dan tanpa diskriminasi”.
Lebih 12 negara mengenakan peraturan perjalanan baharu ke atas pelancong dari China.
Sekumpulan pakar Kesatuan Eropah (EU) minggu lalu ‘memberi galakan yang kuat’ kepada 27 negara anggota blok itu bagi menuntut ujian saringan COVID-19 membabitkan pelancong yang terbang dari China dan menjalankan ujian rawak ke atas ketibaan.





