Ewon Hadiri Mesyuarat OECD Di Paris, Meterai MoU Dengan Kerajaan Algeria

Ewon Hadiri Mesyuarat OECD Di Paris, Meterai MoU Dengan Kerajaan Algeria

0
SHARE
Ewon
Ewon dan delegasi di rumah kediaman rasmi Duta Besar Malaysia di Perancis ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PARIS – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick semalam menghadiri persidangan Organisation For Economic Co-Operation and Development (OECD) dan Committee On SMEs and Entrepreneurship (CSMEE) yang diadakan di Paris.

Mesyuarat tersebut akan berlangsung selama tiga hari yang disertai oleh negara-negara anggota dan bukan anggota OECD.

Ewon akan menjadi ahli panel kepada enam sesi mesyuarat dan akan menyampaikan input-input berkaitan pembangunan keusahawanan kecil dan sederhana di Malaysia.

Sepanjang tempoh persidangan, Ewon turut mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatan dari New Zealand, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Canada.

Ewon juga akan melawat perusahaan francais Delifrance dan menyampaikan surat tawaran master francais kepada usahawan Malaysia yang mengembangkan perusahaan tersebut di Kuala Lumpur.

Terdahulu, ketibaan Ewon disambut oleh Duta Besar Malaysia di Perancis, Datuk Mohd Zamruni Khalid yang menghoskan makan malam di rumah kediaman rasmi duta.

Ewon turut mengadakan mesyuarat pre-council di pejabat Kedutaan Malaysia melibatkan delegasi kementerian dan agensi seperti PERNAS, SME Corp, SME Bank dan Bank Rakyat.

Selepas persidangan OECD, Ewon akan mengadakan lawatan kerja di Algeria untuk mengadakan mesyuarat dua hala dan seterusnya memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Algeria yang akan diwakili rakan sejawatnya, Yacine El Mahdi Oualid, Menteri K-Ekonomi, Start-Up dan Perusahaan Kecil.

MoU tersebut merupakan susulan kunjungan Duta Kerajaan Algeria ke Malaysia kepada Ewon pada awal tahun ini berkenaan kerjasama pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kedua-dua negara.

Ewon yang diraikan sebagai tetamu negara Kerajaan Algeria juga akan dibawa melawat agensi-agensi pembangunan PKS di negara tersebut.

Beliau juga akan mengadakan perjumpaan dengan disapora Malaysia di Algeria.

Ewon dan delegasi akan kembali ke Malaysia pada 5 Julai.