Dua Dasar Dilancar Bagi Mendokong Pengurusan Biodiversiti Secara Mapan

Dua Dasar Dilancar Bagi Mendokong Pengurusan Biodiversiti Secara Mapan

0
SHARE
Abidin
Abidin (dua dari kiri) menyampaikan cek cura kepada pemenang penyelidikan ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dua dasar utama yang mendokong pengurusan dan penggunaan mapan biodiversiti dilancarkan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dasar tersebut adalah penyumbang terbesar mencapai Sustainable Development Goals (SDG 2016-2030) yang merupakan tonggak utama dalam membangunkan negeri melalui inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Sabah Biodiversity Strategy (2024-2034) dan Sabah Biotechnology Blueprint (2024-2034) adalah dua dasar utama yang bukan sahaja memastikan negeri kita berada dalam landasan yang betul namun turut memulihara penggunaan sumber biodiversiti secara terarah, terancang dan mapan.

“Penghasilan dua dasar ini saya percaya dapat memandu dan memacu kita ke ara negeri maju mengikut adunan yang kita khendaki iaitu secara lestari.

“Saya dimaklumkan dasar-dasar ini digubal teliti dengan dengan konsultasi antara agensi, pihak swasta, NGO, masyarakat sivil dan penduduk setempat mengikut piawaian dan kerangka moden antarabangsa yang sistematik dengan mengambil kira Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework iaitu kerangka bagi memastikan sasaran-sasaran pemuliharaan biodiversiti tercapai menjelang tahun 2030.

“Saya menyeru kepada semua pihak yang dikenalpasti sebagai pelaksana kepada pelan tindakan dan aktiviti-aktiviti mengambil tindakan proaktif dan bertanggungjawab kepada kejayaannya kerana kedua dasar tersebut telah menjadi dasar kerajaan dan ianya perlu dilaksanakan bagi mencapai pemuliharaan terancang dan penerokaan sektor bioteknologi yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri serta sasaran-sasaran dibawah hala tuju SMJ,” katanya.

Teks beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir sempena majlis Penyampaian Anugerah Penyelidikan Biodiversiti Terbaik di Sabah dan Pelancaran Strategi Biodiversiti Sabah 2024-2034 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Selasa.

Turut dilaksanakan penyampaian anugerah kepada individu yang telah menyumbang kepada bidang penyelidikan biodiversiti negeri Sabah iaitu kajian penyelidikan bertajuk ‘Health and genetic connectivity of marine turtles in the coral triangle area (Malaysia)’ yang dibuat oleh Dr. Juanita Joseph bagi kategori penyelidikan tempatan manakala kategori penyelidik antarabngsa di menangi oleh Dr Tan Ming Kai dengan penyelidikan bertajuk “Contribution to the taxonomy and ecology of orthoptera from rainforest discovery centre, Sandakan”.

“Antara objektif Anugerah Penyelidikan ini adalah untuk memandu bidang penyelidikan di Sabah ke arah penyelidikan yang memberi impak atau manfaat kepada kesihatan manusia, pemeliharaan fauna dan flora, ekonomi negeri dan pelaksanaan pembangunan infrastruktur di negeri ini.

“Dengan cabaran daripada perubahan iklim, gempa bumi dan penularan pandemik, saya percaya penyelidikan akan menjadi rujukan kepada kerajaan negeri tentang langkah atau halatuju yang perlu diambil bukan sahaja bagi menangani sesuatu cabaran tetapi juga memanfaat hasil penyelidikan bagi kemajuan dan kesejahteraan hidup rakyat,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, Pengarah Pusat Biodiversiti Sabah (SaBC), Dr. Gerald Jetony, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Ahemad Sade dan Pengarah Institut Biologi Tropika dan Pemuliharaan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Professor Madya Dr. Fiffy Hasnidah Saikim. — JABATAN PENERANGAN SABAH