PAPAR, SABAH – Dua remaja ditemukan maut selepas dipercayai lemas ketika menjalankan aktiviti mandi-manda di Sungai Pokdi Campsite, Mandalipau, di sini pada pagi Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.10 pagi itu, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan lapan anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 31 kilometer.
Komander Operasi, PBKI Imamat Tawarid melaporkan kedua-dua mangsa telah ditemui oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi.
Mangsa masing-masing seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dan seorang lelaki berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Ketua Balai BBP Papar, Rozlan Osman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.10 pagi sebelum jentera tiba di lokasi pada jam 10.50 pagi.
“Setibanya di lokasi, kedua-dua mangsa telah pun ditemui oleh orang awam dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM. Operasi kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 1 petang,” katanya dalam satu kenyataan.
Operasi turut melibatkan kerjasama beberapa agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan KKM.






