KUALA LUMPUR – Empat kerusi Parlimen yang dimenangi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) perlu dikosongkan susulan langkah keluar ahli-ahlinya di Sabah pada Sabtu kata seorang Peguam Perikatan Nasional.
Ketua Pasukan Undang-Undang Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional (PN), Wan Rohimi Wan Daud, berpandangan tindakan keempat-empat Ahli Parlimen itu memenuhi syarat yang diperuntukkan Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
Katanya pembabitan empat wakil rakyat berkenaan iaitu Datuk Azmizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) pembabitan tergugur apabila mengumumkan keluar daripada BERSATU untuk menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Apabila empat Ahli Parlimen ini mengisytiharkan keluar BERSATU, mereka bukan lagi ahli kepada mana-mana komponen parti dalam GRS…
“Pada peringkat itu, mereka secara automatik bukan lagi ahli kepada gabungan GRS kerana telah memutuskan talian keahlian melalui parti komponen BERSATU.
“Mereka tidak boleh mengatakan keluar BERSATU tetapi kekal dalam GRS kerana keahlian mereka (dalam GRS) bersifat ‘by extension’ atau atas keanggotaan mereka sebagai ahli BERSATU.
“Berhenti daripada menjadi ahli BERSATU, maka secara jelasnya mereka turut berhenti daripada menjadi ahli gabungan GRS.
“Justeru operasi undang-undang berkaitan peruntukan Perkara 49A(1)(a)(i) adalah terpakai ke atas empat Ahli Parlimen ini.
“Maka, keahlian mereka sebagai Ahli Dewan Rakyat turut gugur,” katanya dalam satu kenyataan dipetik sumber Berita Harian.
Terdahulu, Berita Harian yang memetik Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berpandangan status empat Ahli Parlimen dan 15 ADUN Bersatu di Sabah tidak gugur dan tidak perlu mengosongkan kerusi yang disandang.
Beliau berpandangan tindakan mereka tidak tertakluk dalam Perkara 49A yang mula berkuat kuasa pada 5 Oktober lalu, kerana empat Ahli Parlimen itu bertanding dalam PRU15 atas tiket GRS yang sudah didaftarkan, bukannya BERSATU.
“Kedudukan 15 ADUN juga tidak terkesan memandangkan enakmen khusus berkenaan larangan bertukar parti belum diwarta untuk dikuatkuasakan di Sabah…
”Keanggotaan empat wakil rakyat Sabah itu bukan secara langsung dengan GRS, sebaliknya menerusi BERSATU.
“Ertinya, status mereka sebagai Ahli Parlimen GRS adalah bersyarat selagi mana mereka mengekalkan keahlian dalam BERSATU,” katanya lagi.