TUARAN, SABAH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Tuaran telah menumpaskan kegiatan penyelewengan barang kawalan diesel dalam satu operasi di sebuah stor tidak bernombor di kampung Lok Batik, Tuaran pada Khamis, kelmarin.
Hasil serbuan pada jam 10.30 pagi itu, pasukan serbuan telah menjumpai dan menyita sebanyak 29,000 liter minyak diesel dalam skid tank, dan empat buah skid tank beserta pam elektronik yang disyaki digunakan untuk menyeleweng dengan anggaran nilai sitaan keseluruhan berjumlahRM107,000.
Menurut Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Tuaran, Saripuddin Moleng, dua orang lelaki warga tempatan yang dipercayai pekerja stor di lokasi serbuan turut ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Risikan telah dijalankan selama seminggu oleh KPDN Cawangan Tuaran sebelum serbuan dijalankan. Berdasarkan keterangan awal, daripada pekerja stor di tempat kejadian, barang kawalan tersebut diperolehi daripada pembekal diesel industri yang sah.
“Walau bagaimanapun kedua-dua pekerja tersebut gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran dan lesen yang sah untuk menyimpan barang kawalan di lokasi berkenaan.
“Sebagai tindakan lanjut, kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal.
“Siasatan juga akan dilakukan di bawah Seksyen 21 akta sama kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan untuk melakukan kesalahan yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini.
Beliau berkata KPDN akan terus menjalankan pemeriksaan dan pemantauan secara berterusan ke atas semua kegiatan berkaitan barang kawalan di Cawangan Tuaran agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.