Gencatan Dagang AS-China Hanya Redakan Suhu, Bukan Selesai Masalah

Gencatan Dagang AS-China Hanya Redakan Suhu, Bukan Selesai Masalah

0
SHARE

GYEONGJU, Korea Selatan: Amerika Syarikat dan China mencapai gencatan setahun dalam perang dagang yang berlarutan, namun pemerhati melihat perjanjian itu sekadar meredakan ketegangan tanpa menyelesaikan isu asas yang menjejaskan ekonomi global.

Presiden AS Donald Trump dan Presiden China Xi Jinping bersetuju menangguhkan tindakan balas perdagangan masing-masing ketika sidang kemuncak APEC di Korea Selatan semalam selepas pertemuan pertama mereka sejak 2019.

Di bawah perjanjian itu, China menangguh kawalan eksport nadir bumi manakala AS membatalkan rancangan mengenakan tarif 100 peratus terhadap barangan China dan menurunkan cukai 20 peratus berkaitan fentanyl kepada 10 peratus.

Trump menggambarkan pertemuan 90 minit itu sebagai “menakjubkan”, namun penganalisis menilai hasilnya hanya gencatan sementara yang tidak mengubah hakikat perang dagang masih berterusan.

“Tiada pihak meletakkan senjata sepenuhnya, mereka cuma berhenti menembak buat sementara,” kata bekas pegawai Majlis Keselamatan Negara AS, Dennis Wilder memetik Al Jazeera.

Walaupun Xi menyatakan kedua-dua negara mencapai “konsensus untuk menangani masalah”, pasaran saham Asia kekal berhati-hati dengan indeks utama di Hong Kong, Shanghai dan Sydney ditutup rendah.

Penganalisis perdagangan Asia menyifatkan langkah ini lebih bersifat taktikal dengan China menggunakan nadir bumi sebagai tekanan, manakala AS mengekalkan sebahagian tarif untuk mengekang pengaruh Beijing.

Walaupun disebut sebagai kejayaan diplomatik, realitinya perjanjian ini hanya menangguh konflik, bukan mengakhiri ketegangan yang terus membayangi hubungan ekonomi dua kuasa besar dunia.