Sabah Tonjol Inovasi Tenaga dan Air SMJ di CAFEO 43

Sabah Tonjol Inovasi Tenaga dan Air SMJ di CAFEO 43

0
SHARE

CLARK, FILIPINA: Sabah menyerlah di Persidangan Ke-43 ASEAN Federation of Engineering Organisations (CAFEO 43) di Pusat Konvensyen SMX, Clark, apabila dua projek kejuruteraan utama negeri itu diketengahkan sebagai model inovasi tenaga dan air serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) merangkap Pengerusi IEM Sabah, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar, membentangkan kertas bertajuk Transforming Sabah’s Energy Future: Deployment of Southeast Asia’s Largest 100MW/400MWh Battery Energy Storage System in Lahad Datu, hasil penulisan bersama Ir. Ts. Qaddafi Abdullah Bajerai dan Ir. Ts. Leona Ng.

Projek sistem simpanan tenaga bateri (BESS) bernilai tinggi itu, dibangunkan oleh anak syarikat SESB, Elopura Power Sdn. Bhd., menandakan langkah besar ke arah kestabilan grid dan keselamatan tenaga Sabah.

Pembinaannya bermula pada September 2024, dengan suntikan awal 50MW pada Jun 2025 dan operasi penuh 100MW pada Ogos 2025.

Menjadi sistem BESS terbesar di Asia Tenggara, projek itu berfungsi menyimpan lebihan tenaga pada waktu beban rendah dan menyalurkannya semula semasa permintaan tinggi, sekaligus memperkukuh kebolehpercayaan grid, menyokong tenaga boleh diperbaharui, dan mengurangkan pergantungan terhadap bahan api fosil.

Mohd Yaakob berkata projek ini membuktikan kepimpinan Sabah dalam inovasi teknologi serta komitmen ke arah masa depan tenaga rendah karbon dan berdaya tahan, selaras dengan Pelan Induk Tenaga Sabah 2040.

Sementara itu, Naib Pengerusi I IEM Sabah, Ir. Ts. Tan KJ, turut membentangkan kertas bertajuk Upper Padas River Dam Development in Sabah, Malaysia: Strategic Infrastructure for Water Security and Renewable Energy.

Projek di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ) ini bakal menjamin bekalan air jangka panjang, menjana tenaga hidro boleh diperbaharui serta mengurangkan risiko banjir di selatan dan barat Sabah.

Kedua-dua projek berimpak tinggi ini mencerminkan kepakaran dan semangat inovasi jurutera Sabah dalam memperkukuh keselamatan tenaga dan air negeri, sejajar dengan matlamat pembangunan lestari Sabah Maju Jaya 2.0.