Kesilapan JPN Catat Status Islam Dalam MyKad Cetus Kekeliruan di Nabawan

Kesilapan JPN Catat Status Islam Dalam MyKad Cetus Kekeliruan di Nabawan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seorang wanita dari Nabawan, Jenefer Ansakoi, dilapor menghadapi kesukaran selepas status agamanya dalam kad pengenalan baharu tercatat sebagai Islam, walaupun beliau beragama Kristian.

Menurut aduan yang diterima Pertubuhan Kebudayaan dan Kebajikan Murut Malaysia (PKKMM), kesilapan itu berlaku selepas Jenefer membuat permohonan penggantian kad pengenalan yang hilang.

Beliau hanya menyedari perubahan berkenaan selepas menerima kad baharu yang menunjukkan status agama berbeza daripada asal.

Akibat kesilapan tersebut, dua anaknya, seorang pelajar Tingkatan 1 di SMK Nabawan, dan murid Tahun 1 di SK Kabu Baru diminta mengikuti kelas agama Islam di sekolah.

Perkara itu berlaku kerana sistem pendaftaran rasmi mencatat ibu mereka sebagai beragama Islam, sekali gus menyebabkan anak-anak turut direkodkan dengan agama yang sama dalam dokumen rasmi.

Presiden PKKMM, Raymond Ahuar, berkata situasi itu memberi kesan emosi kepada keluarga berkenaan dan menimbulkan persoalan tentang ketepatan serta ketelusan sistem pengemaskinian maklumat di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Kes seperti ini menunjukkan perlunya semakan semula prosedur pengesahan dan penyelarasan antara JPN serta Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), bagi mengelakkan kesilapan yang boleh menjejaskan hak individu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa Jenefer juga didaftarkan sebagai ibu tunggal, walaupun suaminya masih hidup dan menetap bersama.

Kesilapan berganda itu menurutnya menunjukkan perlunya penambahbaikan dalam proses verifikasi maklumat peribadi oleh pihak berkuasa.

Raymond menyeru supaya JPN dan JHEAINS menambah baik sistem pengesahan status agama dengan memastikan sebarang perubahan hanya dilakukan melalui pengesahan rasmi serta persetujuan bertulis individu terbabit.

Katanya, kebebasan beragama adalah hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan turut diperkukuh melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Batu Sumpah Keningau.

Beliau berharap kerajaan negeri dan persekutuan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyelesaikan isu ini serta memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa hadapan.