KUALA LUMPUR – Kehangatan perang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) makin terasa apabila tular satu surat akujanji calon UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang bakal bertanding untuk terus kekal menyokong Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Surat yang tular berkenaan ditandatangani oleh calon UMNO-BN di Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dengan dua orang saksi lain iaitu Zahid sendiri serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Kandungan utama surat tersebut meminta semua calon UMNO dan BN menyokong Zahid sebagai calon Perdana Menteri (PM) sekiranya memenangi PRU-15 pada 19 November nanti.
Dalam surat tersebut juga semua calon juga perlu bersetuju supaya kes mahkamah yang sedang dihadapi pemimpin UMNO digugurkan dan siasatan dihentikan dengan serta-merta.
Terdapat lagi LIMA (5) syarat yang digariskan dalam surat tular tersebut, antaranya:
A) Memberikan jawatan kabinel yang utama kepada wakil dari UMNO dan Barisan Nasional seperti yang diarahkan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional.
B) Memberikan jawalan agensi serta syarikat berkaitan kerajaan kepada wakil dari UMNO dan Barisan Nasional seperti yang diarankan ole Presiden UMNO merangkap Pengerusi Barisan Nasional.
C) Menggugurkan kes-kes mahkamah yang melibatkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional hendaklah diselesaikan oleh kerajaan yang akan dibentuk selepas PRU-15.
D) Menggugurkan semua siasatan yang melibatkan kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional.
E) Melibatkan dan mengambil kira keputusan kepimpinan tertinggi UMNO dan Barisan Nasional dalam keputusan-keputusan kerajaan.
Walau bagaimanapun, Pengarah Komunikasi BN iaitu Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah mengesahkan surat akujanji yang tular ketika ini sebagai palsu.
“Disahkan bahawa AKUJANJI yang disebarkan dan sedang viral ini adalah PALSU & TIDAK BENAR…
“Tiada sebarang akujanji sebegini dilakukan,” tegas beliau.
Menurutnya lagi, perkara ini nyata suatu usaha jahat daripada pihak tidak bertanggungjawab dan jelas satu perancangan yang ingin memburukkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ketika musim PRU-15 ini.