
LONDON, BRITAIN – Seorang individu di negara Britain maut apabila dijangkiti penyakit demam Lassa selepas beberapa jangkitan dikesan pada Rabu lalu.
Menurut laporan akhbar The Sun UK, Agensi Keselamatan Kesihatan Britain (UKHSA) mengesahkan perkara itu selepas terdapat tiga jangkitan dikesan di England Timur apabila sebuah keluarga pulang dari melancong ke Afrika Barat.
Demam Lassa adalah penyakit akut virus berdarah yang boleh membawa kepada pendarahan dalaman dan menjejaskan fungsi sistem organ…
Pesakit biasanya dijangkiti selepas terdedah kepada makanan atau barang yang mengandungi air kencing atau najis tikus. Ia juga boleh disebarkan melalui cecair dari badan pesakit.
“Kami mengesahkan kematian yang menyedihkan melibatkan seorang pesakit yang disahkan menghidap demam Lassa. Kami mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,’’ kata seorang jurucakap Yayasan NHS Bedfordshire.
“Kami akan terus menyokong keluarga pesakit, manakala kakitangan kami akan bekerjasama rapat dengan rakan sekerja daripada UKHSA untuk menjalankan pengesanan kontak,’’ tambahnya.
Bagaimanapun, UKHSA mengesahkan bahawa risiko penularan virus tersebut kepada masyarakat adalah sangat rendah.
Virus itu adalah daripada keluarga yang serupa dengan Ebola tetapi tidak menyebabkan kematian atau menular. Ia telah menjadi endemik di beberapa negara Afrika Barat.
Kebanyakan pesakit yang mengalami demam Lassa akan pulih sepenuhnya tetapi sesetengah daripada mereka akan sakit dengan teruk.
Demam Lassa berasal dari bandar Lassa di utara Nigeria. Demam itu mempunyai tempoh pengeraman selama 21 hari dan boleh berjangkit melalui cecair badan.