KOTA KINABALU, SABAH – Seramai 150 pengamal bidang komunikasi perubahan sosial serta tingkah laku (SBCC) menyertai Asia Pacific SBCC Regional Symposium 2023.
Wakil UNICEF Malaysia dan Wakil Khas Brunei Darussalam, Robert Gass berkata, simposium yang julung kali diadakan di Sabah itu menghimpunkan pengamal SBCC untuk perbincangan konstruktif, meneroka mekanisme inovatif pembudayaan dan menginstitusikan bidang SBCC dalam kalangan pakar, cendekiawan, pembuat dasar serta pemain industri.
“Objektif simposium ini adalah untuk memberi pemahaman kepada peserta tentang kepentingan menggunakan pendekatan SBCC dalam tugas harian terutamanya dalam industri penjagaan kesihatan.
“Kami berharap dapat mengukuhkan kerjasama UNICEF untuk hasil yang lebih baik demi kanak-kanak di rantau ini.
“Berpandukan falsafah ‘nothing about us, without us,’ strategi SBCC mempunyai potensi untuk memperkasakan individu dalam membuat pilihan yang melindungi hak mereka, membangunkan komuniti dan meningkatkan daya tahan,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Asia Pacific SBCC Regional Symposium 2023 di sini, pada Rabu.
Majlis perasmian bertemakan “SBCC In Southeast Asia and South Pacific : Unlocking Its Potential for Community Development and Resilience” itu disempurnakan wakil Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.
Menurut Robert, simposium dua hari anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama UNICEF tersebut mengandungi 17 program merangkumi ucaptama, sidang plenari, pembentangan lisan, forum, sandbox, sesi meja bulat dan lain-lain.
Simposium berkenaan menampilkan 35 penceramah dari tujuh negara iaitu Malaysia, Vietnam, Laos, Thailand, Singapura, Indonesia dan New Zealand antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Foundation, Mohamad Kamal Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Prof. Madya Ts. Dr. Ramzah Dambul dan personaliti media, Kamarul Bahrin Haron. — JABATAN PENERANGAN SABAHÂ