BN Berpeluang Kuasai PRN Melaka Dengan Penampilan Calon Muda – Bung

BN Berpeluang Kuasai PRN Melaka Dengan Penampilan Calon Muda – Bung

0
SHARE

MELAKA – Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO, Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, Barisan Nasional (BN) dilihat berpeluang untuk menguasai Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN) kali ini dengan penampilan calon muda.

Katanya selain itu, BN diyakini mempunyai peluang yang lebih baik berbanding Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN) yang dilihat terdiri daripada ramai pelompat parti dan didakwa bukan digemar pengundi.

Beliau turut berkata BN akan menjadi pilihan rakyat berbanding dengan PH yang gagal menunaikan janji selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

“Rakyat dapat melihat selama berdekad BN terbukti berjaya mentadbir negara dengan baik untuk kestabilan politik dan ekonomi serta memulihkan negara dari krisis…

“Berlandaskan kejayaan dan kecekapan BN menjaga kestabilan politik dan mengurus ekonomi negara sebelum ini, tidak ada sebab bagi rakyat Melaka menolak BN pada PRN kali ini,” kata Bung yang juga Ketua UMNO Sabah.

Beliau berucap selepas mengiringi calon BN N.23 Telok Mas, Datuk Abdul Razak Haji Abdul Rahman, ke pusat penamaan calon di Kompleks Komuniti Desa (KKD) Melaka Tengah, pagi tadi.

Bung sempat berbincang bersama calon BN Datuk Abdul Razak Haji Abdul Rahman sebelum bergerak ke pusat penamaan calon…

Abdul Razak yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka akan berhadapan dengan calon PN, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen yang juga Pengerusi PN Melaka, selain calon PH Ashrat Mukhlis Minghat dan seorang calon bebas Muhammad Ariff Adly Mohammad.

Kira-kira 21 peratus (21%) calon BN pada PRN Melaka kali ini merupakan calon muda.

Bung berkata pilihan itu menunjukkan bahawa UMNO serius dalam usaha “meremajakan” parti tersebut.

Beliau berkeyakinan calon muda yang terpilih pada PRN kali ini mampu memberikan saingan kepada calon-calon lain serta menggalas amanah dan tanggungjawab sekiranya mereka terpilih menjadi wakil rakyat.

“Keputusan ini merupakan satu perkembangan baik untuk parti kerana kebanyakan calon muda yang dipilih mempunyai latar belakang yang berbeza selain berpendidikan, ada dari kalangan profesional seperti doktor dan sebilanganya adalah calon yang dihasilkan dari kilang pemuda,” katanya.

Bung menambah, calon BN Telok Mas merupakan salah seorang calon muda yang dihasilkan dari kilang pemuda yang sebelum ini pernah menjadi Bendahari Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.

“Abdul Razak sudah tentu memiliki pengalaman untuk memikul tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sekiranya diberikan peluang pada PRN kali ini…

“UMNO bukan menampilkan calon kerana umurnya muda semata-mata namun calon ditampilkan adalah mereka yang sudah lama berjuang dalam parti dan dapat diterima oleh rakyat,” tambah Bung.