Graduan Sains Sukan UiTM Nekad Berhenti Kerja Wartawan, Kini  Usahawan Hasilkan Barang...

Graduan Sains Sukan UiTM Nekad Berhenti Kerja Wartawan, Kini  Usahawan Hasilkan Barang Kemas Dari Sisa Plastik

0
SHARE
Saila mula membuat barang kemas hiasan daripda bahan buangan sisa plastik kepada barang perhiasan dari rumah sejak 2016...

KOTA KINABALU, SABAH – Seorang wanita dari Penampang telah berhenti bekerja sebagai seorang wartawan dan sub-editor selepas menjadikan hobinya iaitu mengitar semula sisa plastik kepada barang perhiasan sebagai sumber rezeki.

Minat Saila Saidie, 34, terhadap kelestarian tercetus pada tahun 2019 sewaktu memandu melalui Kampung Air di Sembulan dan melihat jumlah botol plastik yang terapung di air.

“Ini menimbulkan keinginan untuk menangani isu sisa plastik. Tidak lama selepas itu, saya menyertai program keusahawanan sosial yang dianjurkan oleh Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah di Kota Kinabalu…

“Lalu, aktiviti yang bermula sebagai hobi secara perlahan-lahan berkembang menjadi perniagaan dari rumah yang dipanggil Lifetime Jewellery Design (LJD),” katanya.

Saila menimbulkan keinginan untuk menangani isu sisa plastik d iSabah dengan menjadikan sisa buangan plastik kepada sumber rezeki…

Sejak itu, Saila yang juga pemegang ijazah dalam sains sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam mula menghasilkan anting-anting yang berkaitan etnik tempatan.

Walau bagaimanapun, usahawan itu tidak menafikan bahawa ketidakstabilan kewangan adalah ketakutan terbesar yang menjadi isu utama, saat dia memutuskan untuk berhenti kerja.

“Dengan pinjaman rumah yang perlu dibayar setiap bulan, kehilangan pendapatan tetap sepenuh masa adalah risiko besar yang perlu diambil.

“Selepas memikirkannya, saya memutuskan bahawa saya ingin mengejar sesuatu yang baharu dan memuaskan.

“Saya sanggup mengambil risiko kerana percaya bahawa bisnes ini berpotensi memberi ganjaran yang melebihi risikonya,” jelas ibu kepada seorang anak perempuan yang berusia dua tahun.

Keputusan untuk berhenti kerja tidak sia-sia apabila pada 2022, wanita tersebut memenangi program Sabah Shell LiveWIRE, yang menawarkan bengkel percuma dan pembiayaan kepada usahawan muda.

Dia memperoleh geran sebanyak RM10,000 yang membolehkannya membeli mesin pemampat kertas.

Kini, Saila berupaya menggaji enam ibu tunggal dari Kampung Sinungkalangan, Tambunan, dengan menawarkan mereka bayaran yang bersesuaian untuk hasil kerja tangan mereka.

Saila berupaya menggaji enam ibu tunggal dari Kampung Sinungkalangan, Tambunan…

“Keputusan saya untuk bekerja dengan ibu tunggal adalah sesuatu yang sangat peribadi.

“Saya dibesarkan oleh ibu tunggal dan faham cabaran dan halangan yang dihadapi oleh wanita-wanita ini.

“Saya berharap perusahaan ini dapat memberikan ibu-ibu tunggal peluang pekerjaan dan sokongan, seterusnya meringankan beban kewangan mereka,” ujarnya.