KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal sebagai pilihan paling relevan untuk menerajui Sabah berdasarkan prestasi semasa dan kesungguhan menyelesaikan isu rakyat, berbanding pembangkang yang dilihat gagal menawarkan penyelesaian konkrit.
Kenyataan itu dilontarkan bekas Timbalan Ketua Bersatu, Aksyah Nasrah susulan ucapan perasmian Presiden UMNO, Datuk Seri Zahid Hamidi baru-baru ini yang menurutnya mendedahkan ketidakmampuan pembangkang untuk menangani isu asas seperti air, elektrik dan jalan raya – isu yang sekian lama menjadi beban rakyat Sabah.
“Sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, beliau sepatutnya mampu menyelesaikan masalah ini dalam tempoh singkat, bukan mengambil masa bertahun-tahun,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambahnya lagi, pembangkang sebelum ini sering mendakwa mampu menyelesaikan masalah infrastruktur “sekelip mata”, namun realitinya membuktikan sebaliknya.
Menurut beliau lagi, sejarah pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama hampir tiga dekad di Sabah jelas menunjukkan kegagalan menyelesaikan isu-isu kritikal, termasuk kadar pengangguran yang masih tinggi dan infrastruktur luar bandar yang daif.
Turut disentuh adalah kepimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang pernah memegang portfolio berkaitan luar bandar.
“Banyak projek infrastruktur ketika pentadbiran Warisan menjadi projek “gajah putih”, malah pembatalan sistem PDP Pan Borneo dan konsesi air turut dilihat sebagai punca utama kelewatan pembangunan negeri,” tegasnya.
Dalam pada itu katanya, di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, GRS kini giat membina semula kerangka ekonomi dan infrastruktur negeri melalui dasar “Sabah Maju Jaya”.
“GRS bukan sahaja mewarisi kerosakan pentadbiran lama, malah terpaksa merangka pelan pemulihan yang menyeluruh. Ini bukan kerja mudah, tegasnya.
Mengulas mengenai slogan “Sabah for Sabahan”, Aksyah menegaskan slogan itu bukan sebagai sentimen kenegerian, sebaliknya sebagai perjuangan menuntut hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Ia menuntut supaya Sabah diberi layanan setara sebagai wilayah dalam Persekutuan Malaysia dan GRS dilihat sebagai satu-satunya entiti politik tempatan yang benar-benar memperjuangkan perkara ini tanpa pengaruh luar,” jelasnya.
Dalam kenyataan sama, Aksyah yang kini menyokong GRS, menyeru agar semua pihak menghormati kedudukan itu sebagai pemerintah sah di Sabah, dan menolak sebarang cubaan untuk menafikan status quo politik negeri.
“Ketika BN berkuasa dahulu, mereka mengatur jajaran politik di Sabah tanpa bantahan. Kini, apabila GRS menjadi teraju utama, mereka pula enggan mengiktiraf hak yang sama,” ujarnya.
Rakyat Sabah turut diseru agar terus konsisten bersama GRS demi kestabilan dan kemajuan negeri.