Guru Tahfiz Telipok Digantung Tugas, JHEAINS Bekerjasama Dengan Polis – Jumain

Guru Tahfiz Telipok Digantung Tugas, JHEAINS Bekerjasama Dengan Polis – Jumain

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) telah mengambil tindakan segera berhubung insiden kekasaran terhadap pelajar di sebuah pusat tahfiz (madrasah) di Telipok yang tular baru-baru ini, dengan mengarahkan guru terlibat digantung tugas sementara siasatan dijalankan.

Pengarahnya, Datuk Jumain Abdul Ghani berkata, pasukan mereka telah melawat pusat tahfiz berkenaan serta mengambil laporan penuh berkaitan insiden tersebut sejurus isu itu menjadi perhatian umum.

Menurutnya, pusat tahfiz berkenaan adalah berstatus swasta namun berdaftar secara sah dengan JHEAINS selepas memenuhi kriteria pendaftaran yang ditetapkan.

“Walaupun ia institusi swasta, ia berada di bawah pemantauan JHEAINS dari segi pematuhan peraturan. Antara perkara yang kami ambil berat ialah kapasiti serta kelayakan guru, termasuk isu kekasaran yang tidak sepatutnya berlaku dalam proses mendidik pelajar,” katanya ketika ditemui media selepas sidang media pengumuman keputusan rasmi Peperiksaan Sijil Rendah Ugama (SRU) dan Sijil Menengah Ugama (SMU) Tahun 2025, pada Khamis.

Beliau berkata, ahli lembaga pengurusan pusat tahfiz berkenaan telah membuat keputusan menggantung tugas guru terbabit buat sementara waktu sehingga siasatan polis selesai, selain memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa.

Jumain turut mengesahkan bahawa individu terlibat merupakan seorang ustaz yang juga imam rawatib, menerima latihan daripada JHEAINS, namun lantikan beliau sebagai imam adalah di bawah Persekutuan dan diselia oleh jabatan agama negeri.

Mengulas punca kejadian, beliau berkata berdasarkan laporan awal, seramai 13 pelajar berusia 18 tahun ke atas didapati keluar dari asrama pada waktu malam dan berada di sebuah kafe siber, sedangkan mereka sepatutnya berada di masjid untuk aktiviti iktikaf.

“Walaupun mungkin berlaku kegusaran dalam kalangan pendidik terhadap pelajar yang melanggar disiplin, tindakan mengasari bukanlah kaedah yang wajar, apatah lagi oleh seorang pengajar berpengalaman. Teguran dan nasihat secara berhikmah sepatutnya menjadi keutamaan,” katanya.

Beliau memaklumkan semua pelajar yang terlibat telah menerima rawatan kesihatan dan dikembalikan kepada keluarga masing-masing, manakala sebarang tindakan lanjut terhadap guru berkenaan tertakluk kepada keputusan lembaga pengurusan pusat tahfiz selaku institusi swasta.

Dalam pada itu, Jumain menasihatkan semua institusi pendidikan agama agar mematuhi kaedah mendidik yang betul dan beretika, sambil menegaskan bahawa keganasan fizikal bukan penyelesaian kepada masalah disiplin pelajar dan tidak boleh diterima dalam mana-mana bentuk.