Hajiji Diiktiraf Sebagai Bapa Modal Insan Sabah

Hajiji Diiktiraf Sebagai Bapa Modal Insan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, terus mendapat pengiktirafan apabila empat tokoh akademik dan profesional negeri ini menyifatkan beliau sebagai “Bapa Modal Insan Sabah” atas keprihatinannya terhadap pembangunan pendidikan dan kemahiran rakyat.

Menurut kenyataan bersama Dr. Janifal Alipal, Dr. Awang Faisal Assyiffa, Dr. Eravan Serri dan Dr. Haji Mohd Azizan Abdul Aziz, fokus Hajiji terhadap pelaburan jangka panjang dalam pembangunan insan terbukti melalui pelbagai dasar pendidikan, biasiswa dan program latihan sejak tahun 2020.

Jelas mereka, antara inisiatif utama ialah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) yang telah menyalurkan bantuan kepada puluhan ribu pelajar. 

“Pada tahun 2024 sahaja, lebih 13,550 pelajar menerima manfaat BKNS berjumlah RM67 juta, manakala TPNS yang dilancarkan pada 2022 telah membantu lebih 15,000 pelajar dengan perbelanjaan melebihi RM17 juta.

“Secara keseluruhan, antara 2021 hingga 2024, kerajaan negeri memperuntukkan RM848.26 juta bagi pelbagai bantuan pendidikan, termasuk RM485 juta khusus untuk pembangunan modal insan,” menurut kenyataan bersama itu di sini, hari ini.

Inisiatif ini turut diperkukuh oleh Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) yang masing-masing menyalurkan bantuan pendidikan bernilai RM67.17 juta dan RM92.4 juta dalam tempoh lima tahun, memberi manfaat kepada lebih 50,000 pelajar negeri ini.

Selain itu, sebanyak 14 program baharu pendidikan dan latihan kemahiran bernilai RM164.14 juta telah diperkenalkan antara 2021 hingga 2025, melibatkan 210,918 pelajar.

Program tersebut meliputi bidang TVET, latihan vokasional, pendigitalan pendidikan luar bandar dan kolaborasi strategik dengan institusi pengajian serta industri.

Para akademik berkenaan menegaskan bahawa pendekatan Hajiji dalam membangunkan modal insan bukan hanya tertumpu pada aspek ekonomi, tetapi juga kepada pembentukan jati diri, nilai sosial dan perpaduan rakyat Sabah.

Mereka menyifatkan kepimpinan beliau sebagai satu warisan yang membina bukan sekadar infrastruktur, tetapi juga manusia menjadikan Sabah benar-benar menuju ke arah Sabah Maju Jaya yang inklusif dan berilmu.