PEMILIHAN BUNG MOKTAR SEBAGAI KETUA JENTERA PILIHANRAYA UMNO SABAH BERIKAN “BOLA TANGGUNG”...

PEMILIHAN BUNG MOKTAR SEBAGAI KETUA JENTERA PILIHANRAYA UMNO SABAH BERIKAN “BOLA TANGGUNG” KEPADA PARTI WARISAN SABAH

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Bantahan beberapa pemimpin UMNO negeri Sabah terhadap pemilihan Datuk Sri Bung Moktar sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ke-16 di Sabah adalah satu proses biasa menunjukkan suburnya demokrasi di dalam UMNO.

Menurut aktivis dan pemerhati politik bebas Syihab Al-Hadi, saranan oleh sebahagian besar pemimpin UMNO Sabah agar pelantikan Datuk Sri Bung Moktar sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah dapat diteliti semula adalah satu proses biasa walaupun dilihat seolah-olah berlaku perpecahan yang dahsyat dikalangan pemimpin UMNO Sabah ketika ini.

Datuk Seri Rahman Dahlan dalam satu kenyataan media (malam tadi) selepas Bung diumumkan sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah berkata, “meletakkan seorang individu yang berhadapan dengan masalah Mahkamah yang terpaksa turun naik Mahkamah dalam keadaan kita berkempen untuk meyakinkan rakyat Sabah bagi mengundi UMNO adalah satu strategi yang akan memakan diri kita.

“Meletakkan Datuk Seri Bung Moktar Radin mengetuai jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, adalah langkah ‘bunuh diri’.”

“Tidak ada satu pun parti di dunia ini yang akan meletakkan seorang yang mempunyai masalah perbicaraan di Mahkamah untuk mengetuai jentera pilihan raya. Berikan kepada saya mana negara yang berbuat demkian.”

“Kita tidak menidakkan Bung sebagai pemimpin kami, dan kami juga telah bekerja dengan Bung, tapi malangnya kita berhadapan dengan pilihan raya. Kita tidak mahu Sabah dijadikan percubaan.”

Rahman yang turut ditemani bersama hampir 13 orang Ketua Bahagian UMNO termasuk Ketua dan Timbalan wanita UMNO turut berkata “Autonomi ini mesti diterjemahkan melalui tindakan, bukan sahaja melalui kata-kata. Autonomi UMNO Sabah sudah dinanti-nantikan oleh ahli UMNO Sabah dan rakyat Sabah secara amnya sejak sekian lama,” katanya.

Datuk Seri Rahman Dahlan bersama hampir 13 orang Ketua Bahagian UMNO termasuk Ketua dan Timbalan wanita UMNO terhadap membantah pemilihan Datuk Sri Bung Moktar sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri kali ke-16 di Sabah pada hujung September ini…

Beliau turut menjelaskan sentimen rakyat Sabah keseluruhannya mahukan parti politik di negeri itu ditentukan hala tujunya oleh orang Sabah sendiri.

“Kami percaya pemimpin UMNO Sabah mampu menentukan hala tuju parti itu sesuai dengan kehendak rakyat Sabah dan situasi politik masa kini. Autonomi inilah yang dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah dan ahli UMNO sejak parti ini bertapak di Sabah 29 tahun yang lalu,” katanya.

Bung Moktar bersama isterinya sebelum ini didakwa atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta bagi mendapatkan kelulusan untuk FELCRA Berhad melabur RM150 juta bagi menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Syihab dalam pada itu berkata “apa yang disuarakan oleh Datuk Seri Rahman Dahlan sebenarnya mempunyai asas dan merit yang kukuh. Dengan pemilihan Datuk Sri Bung, ini sudah tentu akan disambut dengan ‘paluan kompang’ dan ‘sorakan gemuruh’ oleh jentera Parti Warisan Sabah serta Parti sekutunya kerana Zahid telah memberikan mereka ‘BOLA TANGGUNG’.”

“Kita harus ingat perang politik melalui FAKTA dan PERSEPSI memang tidak boleh dipisahkan. Jadi meletakkan Bung sebagai Ketua jentera pilihan raya Sabah sekaligus akan membebankan jentera Barisan Nasional (BN) apabila terpaksa menjawab serangan pihak lawan terhadap Bung.”

“Masalahnya apabila berlaku serangan ke atas Bung melalui kes rasuahnya, teguran keras ke atas Tun Mahathir, ucapan yang agak ‘berbau seksis’ di Parlimen termasuk isu lainnya sudah tentu ianya perlu dijawab oleh jentera BN. Dengan tempoh kempen yang agak singkat akan menyukarkan jentera pilihan raya untuk membalas balik serangan tersebut dan sekaligus boleh menyebabkan minda pengundi khususnya golongan anak muda dan ‘pengundi atas pagar’ boleh berubah.”

Justeru, melantik seorang Ketua jentera pilihan raya yang bermasalah seperti Bung bakal mengundang lebih banyak masalah kepada jentera pilihan raya BN di Sabah.

Syihab turut berkata lagi bahawa “harus diingat salah satu sebab UMNO kembali kuat dan diyakini oleh rakyat sebelum ini adalah disebabkan oleh ketokohan Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan menerajui UMNO sepanjang Zahid berehat.”

Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Hasan (Tok Mat)…

“Kalau Zahid tidak mengambil pendekatan memberikan jawatan Presiden UMNO untuk diterajui oleh Tok Mat selama hampir 6 bulan, UMNO sudah tentu tidak kembali sekukuh seperti hari ini.”

“Justeru, secara moralnya tindakan Zahid menamakan Bung sebagai Ketua jentera pilihan raya di Sabah dan dalam masa yang sama Bung masih lagi berhadapan serta mempunyai masalah di Mahkamah adalah jelas satu tindakan yang kurang tepat yang telah dilakukan oleh Zahid,” Syihab berkata lagi.

Dalam pada itu, seorang pemimpin UMNO Sabah yang enggan namanya disiarkan pula berkata, kemenangan UMNO di Kimanis tidak boleh dijadikan indeks untuk memilih Bung sebagai Ketua jentera pilihan raya negeri Sabah.

“Kemenangan BN di Kimanis sebenarnya banyak dibantu oleh penyatuan pemimpin-pemimpin politik daripada PBS, STAR, SAPP termasuk Datuk Seri Anifah Aman sendiri serta isu PSS dan juga kelemahan pentadbiran Shafie.”

Penyatuan para pemimpin politik tempatan Sabah daripada PBS, STAR, dan SAPP di ‘Himpunan Muafakat Rakyat Sabah’ pada PRK Kimanis yang lalu…

“Persoalannya sekarang, mengikut sumber PBS termasuk parti STAR tidak akan bersama UMNO sekiranya Bung mengetuai UMNO Sabah.”

“Anifah juga jelas boleh mendatangkan masalah lain kepada perpecahan undi khususnya di Parlimen Kimanis dan dua DUN di bawah Kimanis.”

Justeru, jika tidak menyelesaikan masalah pelantikan Bung ini dengan baik, ianya bakal memberikan kelebihan kepada Parti Warisan pada PRN Sabah kali ke-16 ini.

“Tindakan Rahman dan sebilangan besar pemimpin UMNO negeri Sabah juga tidak boleh dituduh sebagai melanggar etika, ‘tali barut’ serta melanggar undang-undang UMNO. Harus diingat sebelum ini Zahid Hamidi juga pernah dinasihati untuk berehat oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia termasuk beberapa pemimpin UMNO lainnya.”

Ketua Pemuda UMNO sebelum ini menasihati agar Presiden UMNO berehat dan berikan tumpuan pada kes Mahkamah berhubung kes rasuah…(Foto ehsan daripada portal berita TV3, Sinar Harian & BH Online)

“Justeru menasihati pemimpin tertinggi UMNO demi untuk melihat kebaikan parti adalah amat perlu dan yakin isu pertukaran Bung akan dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) pada bulan September ini.”