Kerajaan Sabah Digesa Kemuka Tuntutan Rasmi Pembayaran 40% Hasil Sabah

Kerajaan Sabah Digesa Kemuka Tuntutan Rasmi Pembayaran 40% Hasil Sabah

0
SHARE
Datuk Ewon Benedick...

PENAMPANG: Kerajaan Negeri Sabah digesa untuk mengemukakan tuntuan secara rasmi berhubung pembayaran 40 peratus hasil Sabah yang dikutip oleh Kerajaan Persekutuan.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, kerajaan negeri tidak pernah secara rasmi mengemukakan tuntutan tersebut kepada Kerajaan Persekutuan bagi menyelesaikan pembayaran 40 peratus hasil Sabah yang terkandung di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Benedick yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, tindakan pemimpin-pemimpin Sabah yang melahirkan kebimbangan terhadap pembayaran itu sama ada di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) atau menerusi media adalah tidak mencukupi.

 

“Ia kerana, kebimbangan itu tidak boleh dijadikan asas untuk kita bawa tuntutan ini ke jawatankuasa teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63).

“Ia perlu berdasarkan surat tuntutan atau tuntutan rasmi kerajaan Sabah, yang tidak pernah dibuat sebelum ini,” katanya di Pusat Khidmat Penampang pada Isnin.

Justeru itu, katanya, beliau berharap agar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama kabinet negeri dapat membincangkan perkara itu dalam mesyuarat kabinet dan seterusnya mengemukakan tuntutan kepada Kabinet Persekutuan untuk dibincangkan.

Ewon turut memberi cadangan kepada Hajiji agar mengadakan mesyuarat kabinet negeri berhubung perkara itu secepat mungkin memandangkan Kerajaan Persekutuan memberi tempoh sehingga Julai tahun ini untuk menyelesaikan mekanisme pembayaran. 

“Kerajaan Madani adalah kerajaan pertama yang memberikan garis masa sedemikan, tapi bagaimana kita akan membincangkan mekanisme itu jika tiada tuntutan rasmi,” tegasnya yang juga ahli jawatankuasa teknikal MTPMA63.