KOTA KINABALU, SABAH – Angka jangkitan harian jatuh kepada 113 kes sahaja hari ini daripada 192 kes kelmarin.
Angka ini merupakan 79 kes atau 41 peratus (41%) lebih rendah daripada angka semalam.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkaya faktor utama yang menyebabkan penurunan ketara angka jangkitan hari ini ialah jumlah sampel ujian pada hujung minggu yang biasanya lebih rendah daripada hari biasa.
“Jumlah sampel ujian hari ini ialah 1710 berbanding 2044 sampel kelmarin.
“Hari ini lebih banyak daerah yang mencatatkan penurunan daripada daerah yang merekodkan jangkitan yang bertambah.
“Sebanyak 13 daerah merekodkan penurunan kes harian berbanding hanya dua (2) daerah yang merekodkan peningkatan kes.
“Angka penurunan yang besar dibeberapa daerah utama juga membantu mengurangkan jumlah kes harian di Sabah hari ini,” jelasnya dalam rumusan harian kes.
Katanya, kes-kes baharu di Penampang turun sebanyak 38 kes, Tawau turun 11 kes, Kota Kinabalu turun lapan (8) kes dan Sandakan berkurangan lima (5) kes.
Bilangan daerah sifar juga bertambah daripada 12 kepada 18 daerah hari ini. Antaranya iaitu Tawau, Keningau, Tenom, Sipitang, Tambunan, Putatan, Kota Marudu dan Lahad Datu.
Namun demikian, Masidi berkata, angka penyusutan kes harian yang begitu besar tidak semestinya bermakna keadaan sudah bertambah baik daripada sebelumnya.
“Bilangan sampel ujian sedikit sebanyak menentukan jumlah kes harian kita…
“Jumlah sampel ujian yang lebih rendah berkemungkinan akan menghasilkan jumlah kes positif yang juga lebih rendah atas andaian kadar positiviti kekal seperti sebelumnya,” katanya.
Dalam pada itu, hanya terdapat satu (1) kes dalam Kategori 4 hari ini.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (26 Jun 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu 66 (74)
Penampang 21 (59)
Sandakan 10 (15)
Papar 8 (9)
Tuaran 3 (3)
Semporna 2 (0)
Beluran 1 (0)
Kota Belud 1 (1)
Kudat 1 (4)
Beaufort 0 (0)
Kalabakan 0 (0)
Keningau 0 (4)
Kinabatangan 0 (0)
Kota Marudu 0 (1)
Kuala Penyu 0 (0)
Kunak 0 (0)
Lahad Datu 0 (1)
Nabawan 0 (0)
Pitas 0 (0)
Putatan 0 (2)
Ranau 0 (0)
Sipitang 0 (3)
Tambunan 0 (2)
Tawau 0 (11)
Telupid 0 (0)
Tenom 0 (3)
Tongod 0 (0)