KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ke-12 pagi tadi menyaksikan pelajar A, salah seorang tertuduh kanak-kanak, tampil memberi keterangan yang disifatkan konsisten serta tenang meskipun berada hampir dua hari di kandang saksi.
Peguamnya, Datuk Ram Singh dan Joan Goh, dalam sidang media selepas prosiding pada pagi tadi berkata, anak guam mereka menumpukan keterangan kepada kejadian bermula 12 Julai lalu, termasuk malam ketika dia bermalam di rumah arwah Zara serta beberapa isu berkaitan buli di sekolah.
“Dia rapat dengan arwah, tapi bukan ‘best friend forever’ lagi. Cuma memang ada bersama arwah sebelum pulang di sekolah, jadi dia boleh cerita apa yang berlaku secara terperinci,” kata Joan Goh.
Sementara itu, menurut Ram Singh, keterangan pelajar A kekal konsisten walaupun melalui proses soal balas yang panjang.
“Dia steady, jawab apa yang dia tahu. Kalau dia tak tahu, dia akan cakap tak tahu. Jawapan dia jelas dan tidak berubah-ubah,” ujarnya.
Kedua-dua peguam memaklumkan prosiding dijangka selesai mendengar keterangan pelajar A pada petang ini sebelum memberi laluan kepada saksi kanak-kanak kedua, yang hadir ditemani ibunya.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar kira-kira 3 pagi dipercayai terjatuh dari tingkat 3 asrama itu, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) I untuk rawatan.
Namun pada 17 Julai, Zara Qairina disahkan meninggal dunia pada 1.07 tengah hari di HQE I, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Siptang.