Inkues Zara Qairina: Pelajar A Dedah Pernah Dibuli, Sekolah Tidak Bertindak

Inkues Zara Qairina: Pelajar A Dedah Pernah Dibuli, Sekolah Tidak Bertindak

0
SHARE

KOTA KINABALU: Prosiding inkues kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir di Mahkamah Koroner semalam mendedahkan kenyataan daripada saksi, Pelajar A, yang mengakui turut menjadi mangsa buli di sekolah.

Manakala pelajar A turut mengakui bahawa pihak sekolah tidak mengambil sebarang tindakan meskipun aduan rasmi pernah dibuat oleh ibunya.

Peguamnya, Joan Goh, berkata anak guamnya memberitahu mahkamah bahawa ibunya pernah menulis surat rasmi kepada pihak sekolah berhubung kejadian itu.

Namun, tiada tindakan susulan diambil sehingga menyebabkan Pelajar A hilang keyakinan untuk terus membuat aduan lanjut.

“Selepas beberapa ketika, dia merasakan tiada gunanya lagi untuk terus memberitahu pihak sekolah kerana tiada apa-apa yang akan dilakukan dan akhirnya terpaksa menanggung sendiri,” katanya ketika ditemui media selepas selesai prosiding inkues bersama saksi kanak-kanak pertama di Mahkamah semalam.

Menurut Joan, Pelajar A turut menggambarkan bagaimana dirinya berasa dihukum ketika sesi pembelajaran berikutan aduan rasmi yang dibuat oleh ibunya.

Selain itu, dia juga memberi keterangan mengenai peristiwa ketika bermalam di rumah arwah Zara pada 12 Julai lalu.

“Walaupun disoal balas oleh empat barisan peguam berbeza, jawapannya tetap konsisten. Dia berjaya menyampaikan keterangannya dengan tenang dan jelas,” tambahnya.

Sementara itu, rakan peguamnya, Datuk Ram Singh, memaklumkan bahawa Pelajar A kelihatan letih selepas hampir dua hari memberi keterangan di mahkamah.

“Sepanjang dua hari, A menerangkan apa yang dia nampak, dengar dan alami sebelum arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu. Dari ekspresi wajah, jelas dia penat,” ujarnya.

Untuk rekod, Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah di Papar kira-kira jam 3 pagi, 16 Julai lalu, dipercayai akibat terjatuh dari tingkat tiga.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada 17 Julai, sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Mesapol, Sipitang.