Kerajaan Sambut Baik Cadangan Masukkan ‘Sabah Day’ Dalam Silibus Sekolah

Kerajaan Sambut Baik Cadangan Masukkan ‘Sabah Day’ Dalam Silibus Sekolah

0
SHARE
Jeffrey
Jeffrey (tengah) berharap kesedaran Sabah Day dalam kalangan rakyat meningkat ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerajaan positif dan menyambut baik cadangan untuk memasukkan Sabah Day, sejarah yang tercicir dalam silibus pendidikan sekolah.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Jeffrey G. Kitingan berkata langkah-langkah proaktif akan diambil untuk melengkapkan keperluan supaya tindakan boleh diambil oleh Kementerian Pendidikan dan kerajaan pusat untuk memasukkan sejarah Sabah Day dalam kerja-kerja sekolah.

“Hari Sabah adalah sejarah yang tercicir kerana semasa penubuhan Malaysia hasrat atau aspirasi Sabah melalui pemimpin-pemimpin atau Bapa-Bapa Kemerdekaan adalah perlu merdeka dahulu sebelum memikirkan tentang Malaysia.

“Hasrat ini timbul disebabkan kita tidak mahu dijajah semula selepas dekolonisasi, walau bagaimanapun semasa penubuhan Malaysia banyak proses-proses yang perlu dilalui.

“Banyak juga tentangan, ada negara-negara jiran yang berkepentingan dan menuntut mereka berhak terhadap Sabah, dan kalau Malaysia ditubuhkan mereka ingin supaya Sabah itu pembuat keputusan serta mereka meminta supaya ada intervensi daripada Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Ini memanjangkan proses penubuhan negara ini sehinggalah tertubuhnya Malaysia pada 16 September 1963,” katanya semasa sidang media Sambutan Hari Sabah 2024, pada Isnin.

Tambah Jeffrey, walaubagaimanapun Perjanjian Malaysia sudah ditandatangani pada 9 Julai 1963 semasa Sabah masih koloni dan perisytiharan Malaysia pada 16 September mengambil kira apa yang berlaku antara dua tarikh tersebut.

“Di antara dua tarikh itu berlakunya Hari Sabah atau Kemerdekaan Sabah di mana pada 8 Ogos 1963, Majlis Undangan North Borneo melalui pemimpin-pemimpin gabungan election telah membuat satu keputusan sebulat suara untuk mengumumkan kemerdekaan Sabah pada 31 Ogos 1963 sama ada Malaysia menjadi kenyataan atau tidak.

“Keputusan untuk memerdekakan Sabah pada 31 Ogos itu direstui oleh British dimana secara bertulis mereka bersetuju melepaskan Sabah sebagai tanah jajahan dan merestui tuntutan Sabah untuk berkerajaan sendiri,” ujarnya.

Jeffrey yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Sabah turut memaklumkan pameran tentang sejarah tersebut juga akan diadakan bagi meningkatkan kesedaran orang ramai.

Turut hadir dalam sidang media tersebut, Ahli Dewan Undangan Inanam, Peto Galim dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI), Leonard Stephen Poyong. — JABATAN PENERANGAN SABAH