KOTA KINABALU, 25 September – Prosiding kes kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, kembali mendapat perhatian apabila isu kenyataan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dibangkitkan sekali lagi di Mahkamah Kanak-Kanak hari ini.
Peguam Datuk Ram Singh, yang mewakili salah seorang daripada lima remaja tertuduh, memohon agar mahkamah mempertimbangkan tindakan menghina mahkamah terhadap Shafie susulan kenyataannya dalam video tular sebelum ini.
Permohonan itu turut disokong oleh Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).
Namun, Hakim Mahkamah Sesyen, Elsie Primus, menegaskan mahkamah perlu menunggu sehingga Jabatan Peguam Negara (AGC) menyelesaikan tindakan mereka, selepas mengeluarkan notis tunjuk sebab kepada Shafie pada Rabu lalu.
“AGC sudah beri tempoh seminggu untuk beliau menjawab. Selepas itu, barulah kami tentukan sama ada mahu meneruskan permohonan penghinaan mahkamah atau tidak,” kata Ram ketika ditemui selepas prosiding.
Sebelum ini, di Mahkamah Koroner, Ram membangkitkan video tular yang memaparkan Shafie menyifatkan kes Zara Qairina sebagai “pembunuhan” serta mengulas mengenai inkues yang sedang berlangsung.
Pada prosiding hari ini, mahkamah juga mengingatkan pihak terbabit mengenai perintah larangan (‘gag order’) berkaitan kes tersebut.
Lima remaja bawah 18 tahun didakwa pada 20 Ogos lalu di Mahkamah Kanak-Kanak kerana menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina sehari sebelum pelajar tingkatan satu itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah di Papar, 16 Julai lalu.
Kesemua mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.






