Inkues Zara Qairina: Media Masih ‘Dikunci’ Demi Jaga Saksi Bawah Umur

Inkues Zara Qairina: Media Masih ‘Dikunci’ Demi Jaga Saksi Bawah Umur

0
SHARE

KOTA KINABALU, 25 September – Prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, terus menarik perhatian umum apabila Mahkamah Koroner hari ini mengekalkan keputusan untuk tidak membenarkan media berada di dalam kamar perbicaraan.

Keputusan dibuat selepas Koroner Ahmad Shah menegaskan kepentingan melindungi saksi bawah umur yang dijadual mula memberi keterangan esok.

Peguam keluarga Allahyarham, Shahlan Jufri, berkata walaupun pihaknya bersetuju jika media dibenarkan hadir, keputusan akhir tetap ditentukan oleh mahkamah.

“Koroner mengekalkan status quo. Media masih tidak boleh berada di dalam prosiding, namun segala perkembangan boleh diperoleh melalui peguam yang hadir,” jelas beliau.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah sepatutnya mendengar penelitian pakar forensik terhadap beberapa dokumen baharu milik Zara Qairina, termasuk buku catatan peribadi yang dirampas polis.

Namun, proses itu ditangguhkan ke minggu depan berikutan isu teknikal.

“Dokumen akan diteliti bersama pakar Jabatan Kimia pada tarikh baharu yang ditetapkan,” tambah Shahlan.

Inkues akan bersambung esok dengan keterangan daripada dua saksi bawah umur, yang merupakan saksi ketiga dan keempat.