Kolam Renang RM 11 Juta Tawau Bukan Bertaraf Olimpik

Kolam Renang RM 11 Juta Tawau Bukan Bertaraf Olimpik

0
SHARE
Kolam Renang Kompleks Sukan Tawau...

KOTA KINABALU, SABAH – Kolam Renang Kompleks Sukan Tawau yang siap dibina pada 28 Disember 2021 belum mencapai status atau ciri-ciri bertaraf Olimpik.

Walaubagaimanapun, kolam renang tersebut dibina mengikut spesifikasi kolam renang bersaiz Olimpik seperti yang digariskan oleh badan renang antarabangsa iaitu International Swimming Federation atau (FINA).

Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Ellron Alfred Angin menjelaskan demikian kepada Rina Haji Jainal (Kukusan) di Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Sook itu berkata kemudahan kolam renang Tawau merangkumi Kolam Pertandingan dan Kolam Kanak-kanak.

“Kolam Pertandingan bersaiz Olimpik ini boleh digunakan untuk tujuan latihan dan penganjuran kejohanan sukan renang pada peringkat negeri atau kebangsaan,” katanya.

Katanya pembinaan Kolam Terjun telah dirancang dan dicadangkan dilaksanakan kerja-kerja pembinaan pada Fasa 2 tertakluk kepada peruntukan yang tersedia kelak.

“Kolam Renang Bertaraf Olimpik dan Kolam Renang Bersaiz Olimpik adalah dua perkara yang berbeza.

“Kolam Renang yang perlu ada di daerah Tawau ialah Kolam Renang Bersaiz Olimpik.

“Buat masa ini, tiada keperluan untuk membina Kolam Renang Bertaraf Olimpik di Daerah Tawau,” katanya.

Antara perenang Sabah yang pernah mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik ialah: Alex Lim Keng Liat (1996, 2000, 2004) bagi Acara 50 Meter, 100 Meter Backstroke.

Alvin Chia Tshun Thau (1996, 2000) bagi Acara 100 Meter Backstroke.

Eileen Nicole Leung Chii Lin (2008) bagi Acara Gaya Bebas dan Brenda Anellia Larry (Paralimpik TOKYO 2020) bagi acara S5 Women 50 Meter Kuak Kupu-Kupu.