Izanami, Loleaz Sandaran Emas E-Sport Sabah

Izanami, Loleaz Sandaran Emas E-Sport Sabah

0
SHARE
Esports
Barisan pemain, jurulatih dan pegawai kontinjen Sabah bagi acara e-sport ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Dua atlet berpengalaman Mohammad Irwandy Izanami Lim, 20, dan Ealtond Loleaz Rayner, 21, menjadi sandaran mendapatkan emas pasukan e-sports Sabah dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak.

Izanami dan Loleaz pernah menjadi rakan sepasukan ketika menjadi Juara Liga Profesional Mobile Legends Musim Ketujuh pada tahun 2021.

Menurut Izanami, meskipun sedar menjadi sandaran untuk pingat emas namun, ia tidak memberi tekanan kepada dirinya dalam membuat persiapan bersama pasukan.

“Buat masa ni, kami hanya fokus dengan latihan yang dibuat oleh jurulatih agar persiapan pasukan dapat dilakukan dengan sebaiknya memandangkan hari perlawanan tidak lama lagi.

“Kami juga tidak boleh memandang rendah pasukan dari negeri-negeri lain kerana barisan-barisan pemain mereka juga mempunyai kelebihan masing-masing,” katanya.

Pada Sukan Sea 2023 di Filipina, Izanami mewakili Malaysia dalam acara Mobile Legends: Bang Bang dan memperoleh pingat perak selepas kecundang dengan pasukan tuan rumah.

Dalam pada masa, pasukan e-sport Sabah menyasarkan tujuh pingat keseluruhan dalam setiap acara yang disertai pada Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak bermula 20 hingga 24 Ogos depan.

Menurut pengurus pasukan e-sport SUKMA Sabah, Mohd Sofihizar Usrah, walaupun julung-julung kali diadakan para atlet tetap mempamerkan aksi yang terbaik bagi memperoleh kilauan pingat.

“Pada edisi pertama e-sport di SUKMA 2024, pasukan Sabah mempertaruhkan 12 atlet bagi memberikan saingan dalam empat acara yang dipertandingkan antaranya Mobile Legend Bang Bang, Tekken8, eFootball serta eRacing (raceroom).

“Persediaan para atlet berjalan baik dengan beberapa siri latihan intensif dilakukan bagi mempersiapkan mereka dari segi mental dan memperkemaskan corak permainan pasukan.

“Biarpun bukan menjadi sukan wajib pada edisi kali ini, diharapkan pada SUKMA akan datang e-sport diangkat menjadi sukan wajib memandangkan perkembangan yang amat positif,” jelasnya kepada media dalam Majlis Pelancaran Jersi dan Video Muzik Pasukan Sabah.

Beliau turut memaklumkan, kehadiran dua pemain e-sport berpengalaman Izanami Lim dan Loleaz diharap akan dapat membantu pasukan memenangi emas dalam acara Mobile Legend Bang Bang. — JABATAN PENERANGAN SABAH