Cubaan Seludup 2.4 Tan Ikan Bilis Kering Di Sandakan Gagal

Cubaan Seludup 2.4 Tan Ikan Bilis Kering Di Sandakan Gagal

0
SHARE
Maritim
Seorang anggota Maritim Malaysia Zon Sandakan menunjukkan hasil rampasan ikan bilis kering ( Sumber Foto: Ihsan Maritim Malaysia )

SANDAKAN, SABAH – 2,400 kilogram ikan bilis kering dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran berjaya digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Sandakan di perairan Sandakan, Khamis lalu.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang menjalankan operasi telah mengesan sebuah vesel dalam keadaan mencurigakan berhampiran Pulau Berhala pada pukul 9.40 pagi.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, vesel dengan enjin sangkut 40 dan 30 kuasa kuda itu didaftarkan atas lesen perikanan manakala tekong lelaki berumur 57 tahun adalah pemegang kad pengenalan pemastautin tetap (MyPR).

“Pemeriksaan lanjut ke dalam vesel seterusnya menemui 30 guni berisi ikan bilis kering dengan anggaran berat 2,400 kilogram dipercayai untuk diseludup keluar ke Pulau Taganak, Filipina.

“Nilai rampasan termasuk barang kawalan, enjin sangkut dan vesel dianggarkan berjumlah lebih RM29,000 ,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat mengikut Akta Kastam 1967 kerana cubaan menyeludup keluar ikan bilis tanpa kebenaran dan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana melanggar syarat sah lesen.