KUALA LUMPUR, SABAH – Dijadikan sasaran serangan oleh pihak pembangkang adalah perkara biasa terjadi kepada mana-mana pemimpin yang menjawat jawatan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata serangan akan menjadi bertambah kuat apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin dekat.
“Lawan BN memperkuatkan ‘serangan’ ke atas Pengerusi BN menjelang PRU15 bukan sesuatu yang luar biasa…
“Ia terjadi luar biasa jika mereka tidak lagi `menyerang’ Pengerusi BN dengan pelbagai dakyah dari sebelum menjelang PRU15 lagi.
“Lebih-lebih lagi Pengerusi BN juga Presiden UMNO yang tidak mengalah kepada tekanan dan kezaliman mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam laman media sosial rasmi Facebook.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berkata disebabkan perkara terbabit, tokoh DAP seperti Lim Kit Siang pun disifarkan amat mengambil berat tentang kerusi Parlimen Bagan Datuk yang disandang Presiden UMNO.
“(Lim Kit Siang) minta PH restui individu yang pernah menyarankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dimansuhkan jadi calon PH.
“Alasan Lim Kit Siang konon mahu lawan rasuah, tetapi itu alasan yang sangat-sangat tidak jujur oleh beliau. Beliau sendiri tahu Presiden UMNO dikenakan pertuduhan di mahkamah semasa PH menguasai negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid juga menambah Lim Kit Siang sendiri tahu beliau dikenakan pertuduhan di mahkamah ketika era pentadbiran PH.
Menurutnya, pertuduhan dikenakan dibuat sejurus PH menang PRU14 dan selepas Tan Sri Tommy Thomas dilantik Peguam Negara.
“Jika saya mengulas secara terperinci dan terbuka mengenainya di sini boleh mengundang implikasi perundangan.
“Namun syukur alhamdulillah Mahkamah Shah Alam telah pun melepaskan malah membebaskan saya daripada pertuduhan.
“Laporan siasatan Pasukan Petugas Khas ke atas buku Tommy Thomas juga telah didedahkan kepada umum.
“Sehingga hari ini tiada pemimpin PH termasuk Lim Kit Siang mengulas mengenainya seolah-olah buat-buat tak tahu,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut menyatakan tidak ada seorang pemimpin PH termasuk Lim Kit Siang mengulas mengenai pendedahan laporan pasukan berkenaan sehingga kini.
“Lim Kit Siang jika jujur melawan rasuah sepatutnya mempersoalkan mengenai kes rasuah tanah dan banglo…
“Kes rasuah bekas Setiausaha Agung DAP itu yang tiba-tiba digugurkan selepas beberapa bulan PH menang PRU-14.
“Kes digugurkan di tengah-tengah perbicaraan selepas mahkamah memutuskan prima facie dan ramai saksi sudah dipanggil,” katanya.