Jamawi Gesa Kepimpinan USIA Ketepikan Politik, Rapatkan Saf

Jamawi Gesa Kepimpinan USIA Ketepikan Politik, Rapatkan Saf

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Belia Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) negeri, Datuk Jamawi Jaafar menggesa barisan kepimpinan pertubuhan itu agar merapatkan saf dan mengetepikan perbezaan fahaman politik demi memperjuangkan kepentingan agama.

Menurut beliau, kepelbagaian pandangan politik dalam kalangan ahli tidak seharusnya menjejaskan matlamat utama USIA.

“Kita di peringkat kepimpinan USIA perlu mengetepikan isu politik. Hakikatnya kita mempunyai pelbagai fahaman politik, namun niat kita semua adalah satu, iaitu untuk agama, bukan untuk politik,” katanya ketika berucap pada Persidangan Agung Tahunan Perwakilan USIA kali ke-39 pada Sabtu.

Jamawi turut memuji kepimpinan Yang di-Pertua (YDP) USIA yang disifatkan berjaya membawa pembugaran kepada pertubuhan itu melalui penyelesaian beberapa isu tertangguh sejak sekian lama, termasuk isu tanah USIA di Semporna dan Sembulan.

“Isu tanah ini sebelum ini amat sukar diselesaikan dan biasanya mengambil masa bertahun-tahun. Namun melalui kepimpinan YDP, ia akhirnya dapat dimuktamadkan dan kini sudah memasuki fasa pembangunan,” katanya.

Beliau berkata, pembangunan tanah USIA di Sembulan kini telah mencapai kira-kira 85 peratus siap, manakala isu Pusat Dakwah USIA di Kota Marudu yang tertangguh akibat kekangan kewangan juga berjaya diselesaikan.

“YDP telah berusaha merancang sehabis baik untuk USIA dan sebenarnya banyak kejayaan telah kita capai,” katanya.

Jamawi menegaskan kepimpinan USIA kini berada di landasan yang betul bagi memastikan pertubuhan itu kekal relevan dan berdaya saing untuk tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.