PUTRAJAYA: Sekolah di Sabah akan dijadikan nod keutamaan pelaksanaan JENDELA Fasa 2, khususnya di kawasan luar bandar, pedalaman dan pulau, bagi memastikan akses internet berkualiti dapat menyokong agenda pendigitalan pendidikan negeri.
Perkara itu dimaklumkan oleh Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Kementerian Komunikasi hari ini.
Menurut beliau, keutamaan kepada sekolah termasuk penyambungan gentian optik terus ke premis sekolah serta peluasan penggunaan teknologi satelit di kawasan yang sukar dicapai dalam masa terdekat, sejajar dengan matlamat memastikan tiada pelajar tercicir daripada akses pendidikan digital.
James turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) atas usaha meningkatkan kesalinghubungan digital di Sabah, termasuk melalui JENDELA Fasa 1 dan peruntukan melebihi RM2 bilion dalam Belanjawan 2026.
Beliau menegaskan bahawa sektor pendidikan, sains, teknologi dan inovasi di Sabah amat bergantung kepada infrastruktur komunikasi yang stabil, terutamanya di kawasan bergeografi mencabar seperti pedalaman dan pulau, yang memerlukan pendekatan dasar lebih fleksibel dan berimpak tinggi.
Dalam pertemuan itu, KPSTI Sabah juga mencadangkan agar Dana Universal Service Provision (USP) diperluaskan penggunaannya bukan hanya kepada pembinaan menara, tetapi juga kepada pembangunan ekosistem pembelajaran digital di sekolah melalui penubuhan Digital Smart Lab.
Makmal ini dicadangkan bagi menyokong pembelajaran STEM, TVET, asas kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber, khususnya di sekolah luar bandar dan pedalaman.
Selain infrastruktur, isu keselamatan digital remaja turut dibincangkan, termasuk cadangan pengurangan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan remaja bawah 16 tahun bagi menangani ancaman jenayah seksual dalam talian dan melindungi kesejahteraan golongan muda.
Bagi memastikan pelaksanaan lebih tersusun, KPSTI Sabah mencadangkan kerangka kerjasama rasmi melibatkan Kementerian Komunikasi, MCMC, KPSTI dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah melalui pendekatan whole-of-government, dengan projek rintis menggunakan Dana USP sebelum diperluaskan ke seluruh negeri.






