Jumlah Kes Baharu COVID-19 Tinggi Disebabkan Varian Omicron – Masidi

Jumlah Kes Baharu COVID-19 Tinggi Disebabkan Varian Omicron – Masidi

0
SHARE
Datuk Seri Panglima Masidi Manjun...

KOTA KINABALU, SABAH – Kes baharu COVID-19 Sabah terus meningkat dengan 80 kes lebih berbanding semalam.

Jurucakap perkembangan COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah 1,285 kes baharu hari ini adalah seperti yang dijangkakan.

“Faktor yang jelas ialah virus Covid sudah bertapak secara meluas dalam komuniti dan ini memudahkan kadar perebakan dan jangkitan dengan lebih cepat…

“Sebanyak 47 peratus jangkitan baharu hari ini berlaku secara sporadik dan hanya disedari apabila pesakit mengalami gejala jangkitan.

“Kategori pesakit yang di perolehi melalui saringan lebih tinggi daripada jumlah pesakit yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks (45 peratus),” jelasnya.

Tambahnya, peratusan kes melalui saringan bergejala adalah tinggi di kawasan perbandaran.

Beliau berkata hampir 50 peratus kes baharu di Kota Kinabalu adalah daripada kategori saringan bergejala.

“Faktor kedua yang menyumbang kepada jumlah kes tinggi ialah sikap cuai atau ‘tidak peduli’ segelintir masyarakat kepada prosedur operasi standard SOP sama ada semasa berkumpul dengan kawan-kawan atau semasa berada di khalayak ramai…

“Sebagai misalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal sudah semakin longgar. Sikap cuai ini memudahkan jangkitan dan seterusnya menambah bilangan pesakit baharu,” tegas beliau.

Katanya lagi, jumlah kes baharu yang melambung tinggi sejak seminggu ini berkemungkinan juga disebabkan oleh Omicron iaitu varian yang lebih cepat merebak walaupun gejala jangkitan lebih ringan daripada varian lain.

“Kadar perebakan Varian B2 Omicron yang merupakan varian dominan di negara jiran Filipina adalah 1.8 lebih cepat daripada varian biasa…

“Varian yang sama juga mengakibatkan peningkatan kes yang tinggi di Singapura dan di banyak negara didunia,” katanya lagi.

Empat (4) daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu dengan 309 kes (+96), diikuti oleh Sandakan 201 kes (-29), Tuaran 150 kes (+37) dan Penampang 108 kes (-5) kes.

Hanya lima (5) kes pesakit hari ini berada dalam Kategori 3 manakala tiga (3) kes dalam Kategori 4 dan satu (1) kes dalam Kategori 5.

Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (06 Feb 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):

Kota Kinabalu – 309 (213)
Sandakan – 201 (230)
Tuaran – 150 (113)
Penampang – 108 (113)
Papar – 79 (84)
Tawau – 78 (52)
Lahad Datu – 56 (53)
Putatan – 36 (23)
Kuala Penyu – 34 (14)
Ranau – 34 (55)
Kunak – 34 (17)
Kota Marudu – 33 (74)
Beaufort – 19 (62)
Kota Belud – 19 (33)
Tambunan – 18 (1)
Keningau – 18 (12)
Kudat – 13 (9)
Tenom – 10 (3)
Semporna – 9 (10)
Kinabatangan – 8 (6)
Beluran – 7 (4)
Telupid – 6 (8)
Sipitang – 3 (11)
Pitas – 3 (1)
Nabawan – 0 (3)
Tongod – 0 (1)
Kalabakan – 0 (0)