Jurulatih PULAPOL Kota Kinabalu Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Jurulatih PULAPOL Kota Kinabalu Cetus Kluster Baharu Di Sabah

0
SHARE
Gambar hiasan...

KOTA KINABALU, SABAH – ‘Kluster Jalan Pahlawan’ tercetus daripada seorang jurulatih polis Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu yang mana telah menjangkiti pelatih, rakan jurulatih dan pekerja dewan makan di pusat itu, demikian menurut Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Menurutnya, bukan sahaja daerah Kota Kinabalu, kluster yang berada di Mukim Petagas itu turut membabitkan kes dari daerah Penampang.

Mengulas lanjut, Masidi berkata kes indeks adalah jurulatih polis lelaki berumur 44 tahun yang tinggal di Perumahan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di Blok Orkid Kepayan dan disahkan positif COVID-19 pada 26 Ogos lalu.

Datuk Masidi Manjun…

Beliau berkata anggota polis terbabit bergejala sejak 24 Ogos sebelum menjalani ujian saringan di Klinik Kesihatan Luyang, Kota Kinabalu.

“Kes indeks sudah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Pirasan di Kota Belud untuk rawatan lanjut…

“Daripada 72 sampel yang diambil, sebanyak 45 kes adalah positif termasuk 41 kes baharu pada hari ini, manakala sembilan sampel didapati negatif dan 18 masih menunggu keputusan ujian saringan,” katanya.

Sementara itu, Sabah kelmarin (2 Sept) merekodkan sebanyak 2,329 kes baharu COVID-19 dengan 33 kes kematian iaitu 12 kes di Kota Kinabalu, diikuti sembilan kes di Sandakan, masing-masing tiga kes di Penampang dan Tenom, dua kes di Papar, manakala masing-masing satu kes di Tuaran, Putatan, Sipitang dan Keningau.

Infografik perkembangan terkini COVID-19 di Sabah setakat 02 September 2021…(Sumber Foto: Command Centre Sabah)

Dalam pada itu, 189 kanak-kanak berumur satu (1) hingga lima (5) tahun termasuk 24 bayi diantara 2,329 pesakit COVID-19 yang dikenal pasti kelmarin.

Masidi berkata, seramai 3,355 pesakit pula dilaporkan sembuh hari ini, manakala seramai 4,907 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,580 orang di hospital, 3,285 orang di PKRC awam, 35 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) serta penjara, dan tujuh orang di fasiliti swasta.

“Dua (2) lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Taman Keramat dan Angkasa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berkuat kuasa bermula 4 September sehingga 17 September ini,” tambah Masidi.