KOTA KINABALU, SABAH – Kaedah prabayar dilihat sebagai solusi kepada masalah kecurian bekalan elektrik khususnya di kawasan setinggan.
Pengurus Besar Pembahagian Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Ir. Addie Ahmad berkata, SESB telah melantik syarikat pembekal kuasa bebas untuk membekalkan elektrik ke penempatan setinggan dengan menggunakan konsep meter prabayar.
“Projek perintis ini sedang dilaksanakan di Kampung Forest, Sandakan di mana sebanyak 800 buah rumah terlibat.
“Kami mengalu-alukan agar konsep ini diguna pakai di seluruh pelusuk negeri,” katanya.
Beliau berkata syaratnya ialah syarikat berkenaan harus membuat penyelenggaraan ke atas tiang elektrik dalam kawasan setinggan berkaitan selain menyediakan pendawaian ke setiap buah rumah.
“Pihak SESB hanya akan membekalkan tenaga elektrik secara pukal,” katanya.
Beliau ditemui media setelah selesai mengetuai Operasi Bersepadu Membanteras Penyambungan Haram yang dilaksanakan di Kampung Numbak, Sepanggar, sini, semalam.

Katanya, Sabah rugi sekitar RM20 juta kepada kecurian bekalan tenaga elektrik setiap tahun manakala 25 peratus gangguan elektrik berpunca daripada kegiatan itu.
“Terdapat 193 koloni setinggan seluruh Sabah dan W.P Labuan dengan anggaran 31 ribu rumah yang dipercayai mendapat bekalan elektrik secara tidak sah.
“Sejak tahun 2016 sehingga kini terdapat tujuh kes kemalangan maut melibatkan orang awam di mana kebanyakkan kes melibatkan kanak-kanak.
“Usaha operasi bersepadu ini terus dilaksanakan bagi memastikan kestabilan perkhidmatan SESB berterusan kepada pengguna serta memastikan keselamatan mereka,” katanya.





