Polis Indonesia Gagalkan Cubaan Seludup Daging Dari Malaysia

Polis Indonesia Gagalkan Cubaan Seludup Daging Dari Malaysia

0
SHARE

JAKARTA, INDONESIA – Polis Indonesia menggagalkan usaha menyeludup dua kontena daging beku jenama ‘Allana’ dari Malaysia ke ibu negara.

Ketua Biro Penerangan Awamnya, Brigedier Jeneral Ahmad Ramadhan yang dipetik Bernama berkata, hasil pemeriksaan sepasukan anggota Agensi Siasatan Jenayah menemui 1,426 karton daging di dalam bekas berkenaan.

“Kontena terbabit dihantar ke Jakarta melalui Pontianak (Kalimantan Barat) dari Malaysia, dan tiga orang yang disyaki pengedar telah ditahan,” portal berita tempatan, detikNews, memetik beliau sebagai berkata.

Beliau berkata, pengedar menggunakan sijil untuk Produk Perikanan Dalam Negeri (e-SKIPP), tetapi jenis barangan yang diisytiharkan tidak sepadan dengan dokumentasi.

Kes itu disiasat di bawah Perkara 263 Kanun Jenayah mengenai dokumen palsu, Perkara 266 Kanun Jenayah mengenai kenyataan palsu, serta Perkara 3, Perkara 4 dan Perkara 5 Undang-undang No. 8 Tahun 2010 mengenai pengubahan wang haram.