Ops Perdana; Aggota AADK Cedera Dirempuh Penagih Dadah

Ops Perdana; Aggota AADK Cedera Dirempuh Penagih Dadah

0
SHARE

MELAKA – Anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cedera di lengan kanan akibat dirempuh lelaki yang cuba mengelak dari dicekup kerana menagih dadah di sarang penagih di ladang kelapa sawit Sungai Udang, Melaka, semalam.

Menurut Harian Metro, Timbalan Pengarah AADK negeri Nor Azmi Sattar dipetik berkata bahawa dalam Ops Perdana yang dilancarkan pihaknya itu, anggotanya Muhammad Syafiq Ruslan, 31, luka pada lengan kanan selepas terjatuh akibat dirempuh penagih berusia 47 tahun yang menunggang motosikal.

“Bagaimanapun, kecederaan dialami tidak parah dan anggota terbabit meneruskan operasi selepas mendapat rawatan kecemasan di tempat kejadian,” kata Nor Azmi, ketika dihubungi.

Menurutnya, selain ladang kelapa sawit di Sungai Udang, operasi sama turut dilancarkan di tapak lama pelupusan sampah, di Krubong, dari 10 pagi hingga 5 petang dengan kekuatan lapan anggota termasuk pegawai.

“Dalam operasi itu, kita menahan 26 lelaki berusia 31 hingga 59 tahun, termasuk seorang dipercayai warga asing.

“Hasil ujian air kencing, 24 daripadanya didapati positif dadah jenis heroin dan syabu, manakala dua lagi negatif,” kata Nor Azmi, sambil mengesahkan kesemua yang ditahan direman tujuh hingga 10 hari bermula hari ini.

Menurutnya, lelaki yang dipercayai warga asing kerana tidak mempunyai identiti pengenalan diri, diserahkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk siasatan lanjut.

Penagih yang merempuh anggota AADK itu turut ditahan, katanya.

Sementara itu, menurutnya, penjawat awam berusia 36 tahun antara yang ditahan dalam operasi terbabit.

Katanya, semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 2004.