PAPAR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua diteruskan bagi mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang dikhuatiri lemas di Kampung Benoni, Papar sejak malam kelmarin.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, mangsa dilaporkan hilang selepas tergelincir di tepi calvert ketika bermandi-manda bersama rakan-rakan sebelum dihanyutkan arus ke arah sungai berhampiran.
Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar menerima panggilan kecemasan pada jam 7.20 malam, 23 September lalu, dan bergegas ke lokasi sejauh lapan kilometer.
Operasi awal dimulakan dengan kaedah pencarian di permukaan air di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
Komander Operasi, PBK II Nadzri Rashid, memaklumkan pasukan tambahan tiba di lokasi pada jam 9.10 malam dan pencarian diperluaskan hingga radius 250 meter di sepanjang persisiran sungai.
Bagi operasi hari kedua, pencarian bermula jam 7 pagi menggunakan sebuah bot NADMA serta sebuah bot penduduk kampung.
Usaha kini tertumpu di sepanjang persisiran sungai berhampiran lokasi kejadian dan setakat ini, mangsa masih belum dijumpai.
PGO JBPM Sabah memaklumkan operasi melibatkan sembilan anggota bersama sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan pacuan empat roda (Vigo).
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan JBPM Sabah.