KUALA LUMPUR – Seorang lelaki iaitu ‘Abdul Aziz Ya’acob’ yang sudah dimamah usia sanggup berlari untuk membantu anak saudaranya yang hampir tumbang pada Majlis Perbarisan dan Kawalan Kehormatan Sempena Sambutan Jubli Emas ke-50 dan Tamat Latihan Kursus Asas Sains Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Maktab Penjara Malaysia, di sini, semalam.
Bapa saudara kepada anak yatim dikenali ‘Nik Mohamad Adhar Nik Ismadi’ itu dilihat berlari hingga tertanggal selipar miliknya dan setibanya di perbarisan itu dia segera memeluk dan menahan badan anak saudaranya di bawah terik matahari yang tiba-tiba tumbang ketika berkawad dalam majlis itu.
Bagaimanapun dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan mendapat rawatan segera.
Insiden itu mengundang emosi sedih kepada para hadirin apabila ramai di antara mereka yang mengalirkan air mata menyaksikan detik itu, apatah lagi lelaki turut menggunakan tubuh tuanya sebagai benteng bagi mengelak anak muda itu kembali rebah.
Dalam pada itu, insiden yang menyentuh perasaan itu turut mendapat perhatian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang berkongsi kejadian di Facebook (FB) milik beliau.
“Yang hadir di padang kawad sempena Hari Penguat Kuasa KPDNHEP di Maktab Penjara Kajang, pagi tadi (21 Julai) menjadi saksi, betapa kasih agung seorang ayah kepada anaknya…
“Yang bermain di fikiran ketika terlihat perkara itu, sama ada ayah ingin mengusung anaknya keluar barisan. Ternyata sangkaan sedemikian meleset…
“Meskipun badan ayahnya dimamah usia, anaknya dipapah, bingkas dibantu berdiri sambil badan menjengah lebih separuh abad itu menjadi benteng daripada anaknya kembali rebah.
“Melihatkan pengorbanan tidak terperi seorang ayah, berjurai air mata hadirin membasahi pipi masing-masing. Saya tidak terkecuali,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki mendedahkan penguat kuasa KPDNHEP yang tular itu adalah anak angkatnya yang kini bertugas di Tawau, Sabah, dikenali Nik Mohd Adhar.
Katanya, beliau menghubungi Nik Mohd Adhar untuk bertanya khabar dan dimaklumkan bahawa pemuda itu demam ketika perbarisan pagi semalam (21 Julai).
“Beliau merupakan anak yatim piatu sejak sekolah lagi. Itu sebab kami ambil beliau sebagai salah seorang anak angkat kami sejak beliau di Sekolah Geting Tumpat lagi,” katanya.