KOTA KINABALU, 24 Januari 2026 – Seorang lelaki berusia 53 tahun mengalami kecederaan parah selepas motosikal berkuasa tinggi yang ditungganginya terbakar sepenuhnya dalam satu kemalangan di Jalan Kampung Petagas, Taman Jumbo, pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.16 pagi sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 3.6 kilometer dan tiba pada jam 9.24 pagi.
Komander Operasi, PBK I Norazrin binti Suhairi berkata, kemalangan tersebut melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Benelli yang terbakar 100 peratus selepas melanggar bahagian belakang sebuah kenderaan Perodua Kancil.
Mengulas kejadian itu, Ketua Balai BBP Putatan, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, penunggang motosikal mengalami kecederaan serius dan tindakan pantas telah diambil bagi memastikan keselamatan semua mangsa serta mengawal kebakaran.
“Penunggang motosikal mengalami cedera parah dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth I.
“Tiga mangsa lain yang berada di dalam kenderaan Perodua Kancil tidak mengalami kecederaan fizikal, namun dua daripadanya dilaporkan mengalami trauma,” katanya.
Beliau berkata, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran hos salur bantu mula dengan sumber air dari tangki jentera sehingga api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 9.40 pagi.
“Operasi ditamatkan pada jam 10.00 pagi selepas pemeriksaan keselamatan dilakukan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.
Operasi tersebut melibatkan seramai lima anggota dari BBP Putatan dengan bantuan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).






