KOTA KINABALU, SABAH – Sasaran kutipan hasil minyak sawit dan minyak petroleum mentah Sabah dijangka bertambah sebanyak 9.6 peratus (9.6%) atau RM430.67 juta tahun ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan Anggaran Hasil Disemak Tahun 2021 meningkat berbanding anggaran asal hasil tahun 2021.
“Ini bermakna, tahun 2021 bakal melakar sejarah baharu bagi Sabah dengan rekod anggaran hasil negeri tertinggi sejak merdeka dengan jumlah RM4.912 bilion…
“Antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan hasil tahun 2021 ini adalah pembayaran Cukai Jualan Negeri (CJN) bagi produk minyak dan gas,” katanya dalam Ucapan Belanjawan Negeri Sabah Tahun 2022 di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada syarikat-syarikat minyak dan gas khususnya PETRONAS atas komitmen melaksanakan tanggungjawab pembayaran cukai tersebut.
“Mengambil kira sebahagian besar hasil negeri adalah disumbangkan oleh komoditi minyak sawit mentah dan minyak mentah petroleum, Kerajaan Negeri perlu berhemat dan mengambil pendekatan konservatif dalam penyediaan Anggaran Hasil 2022…
“Ini agar kedudukan kewangan Kerajaan kekal kukuh kerana penentuan harga komoditi tersebut terdedah kepada risiko perubahan semasa dalam persekitaran ekonomi dan pasaran global yang di luar kawalan kita,” katanya lagi.
Disebabkan faktor-faktor tersebut, beliau berkata, Kerajaan Negeri mengunjurkan Anggaran Hasil Tahun 2022 adalah berjumlah RM4.707 bilion.
“Kita akan mengurus belanjawan ini dengan sebaiknya dan penuh tanggungjawab untuk memastikan kedudukan kewangan Kerajaan Negeri berada dalam keadaan yang stabil dan tidak menjejaskan rezab sedia ada…
“Keupayaan kita untuk meningkatkan perbelanjaan bagi faedah rakyat akan bergantung kepada kemampanan hasil negeri,” ujar Ketua Menteri.





